am@hmetro.com.my
Kluang: Seorang penjawat awam lelaki nekad keluar melalui tingkap angin dalam tandas bagi mengelak ditahan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) selepas disyaki berkhalwat dengan janda di sebuah inap desa di sini, semalam.
Bagaimanapun, cubaan lelaki berusia 45 tahun dan masih berstatus suami orang gagal sebelum dicekup penguat kuasa yang sedang menunggu di belakang bilik dalam operasi bermula pada jam 8.30 pagi.
Menurut JAINJ, pihaknya menjalankan operasi selepas menerima arahan untuk memeriksa inap desa supaya tidak dijadikan port untuk melakukan maksiat.
“Dalam pemeriksaan terbabit, penguat kuasa mengetuk pintu salah satu bilik namun tiada sesiapa membukanya.
“Selepas 10 minit pintu bilik masih belum dibuka, penguat kuasa berusaha untuk mencari tuan rumah, tiba-tiba seorang lelaki dilihat melarikan diri melalui tingkap angin dari dalam tandas,” katanya dalam kenyataannya, hari ini.
Katanya, lelaki itu berjaya ditangkap dan tidak lama kemudian pintu bilik inap desa berkenaan dibuka seorang wanita.
“Hasil soal siasat mendapati lelaki terbabit berstatus suami orang yang juga penjawat awam di Kluang manakala pasangannya, seorang janda berusia 56 tahun, berniaga sendiri.
“Rumah lelaki ini terletak sekitar 15 kilometer dari inap desa. Apabila ditanya motif berdua-duaan dalam bilik mereka memberitahu hanya berehat sambil berbualm” katanya.
Menurut JAINJ, pasangan ini sudah lama mengenali antara satu sama lain dan mereka memilih inap desa kerana penguat kuasa kerap menjalankan operasi di hotel.
“Melalui maklumat diperoleh, mereka mendaftar masuk ke dalam bilik pada jam 4 pagi sehari sebelum ditahan dengan berlagak seperti suami isteri,” katanya.
Katanya, penguat kuasa merekodkan keterangan pasangan itu dan mereka akan didakwa mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan-Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor 1997.
© New Straits Times Press (M) Bhd






