Dean James dari Go Ahead Eagles kehilangan kerakyatan Belanda selepas mengambil kerakyatan Indonesia bagi mewakili negara Asia itu pada aksi kelayakan Piala Dunia sekali gus melanggar peraturan bola sepak Belanda. – FOTO: Agensi
MAHKAMAH di Utrecht memutuskan tiada keperluan untuk mengulang perlawanan Liga Belanda, sekali gus mengelakkan potensi kekacauan besar yang boleh menjejaskan keseluruhan musim Eredivisie.
Kes itu tercetus susulan pertikaian mengenai status kelayakan pemain Dean James dari Go Ahead Eagles yang memilih untuk mewakili Indonesia di peringkat antarabangsa.
Isu berkenaan dibangkitkan oleh NAC Breda selepas kekalahan 0-6 kepada Go Ahead Eagles, dengan mendakwa pemain tersebut tidak lagi layak beraksi dan menuntut perlawanan diulang.
Mengikut undang-undang Belanda, individu yang secara sukarela mengambil kerakyatan lain lazimnya akan kehilangan kerakyatan Belanda kerana negara itu tidak membenarkan dwikenegaraan.
Situasi itu menyebabkan pemain yang sebelum ini didaftarkan sebagai warga Belanda mungkin kini dianggap pemain bukan Kesatuan Eropah (EU) dan perlu memiliki permit kerja untuk terus beraksi secara profesional
Persatuan Bolasepak Belanda (KNVB) bagaimanapun menjelaskan situasi itu turut membabitkan beberapa pemain lain yang mempunyai status dwikewarganegaraan dan jika tuntutan berkenaan diterima, sekurang-kurangnya 133 perlawanan perlu dimainkan semula.
Senario itu berpotensi menjejaskan kelangsungan liga, lebih-lebih lagi dengan peraturan negara yang tidak mengiktiraf dwi kewarganegaraan dalam kebanyakan kes.
Lembaga pertandingan KNVB sebelum ini menolak rayuan NAC walaupun mengakui terdapat isu kelayakan, sebelum kes tersebut dibawa ke mahkamah.
Mahkamah akhirnya memihak kepada KNVB dengan menyatakan kepentingan mengekalkan kelancaran saingan liga mengatasi tuntutan untuk mengulang perlawanan.
Dalam reaksi awal, NAC memaklumkan pihaknya akan meneliti keputusan tersebut bersama penasihat sebelum menentukan langkah seterusnya.






