Pemain Arsenal meraikan detik bersejarah mara ke final UCL buat kali pertama dalam tempoh 20 tahun. FOTO: Agensi
ARSENAL akhirnya menamatkan penantian panjang apabila mengesahkan tempat ke final Liga Juara-Juara (UCL) buat kali pertama dalam tempoh 20 tahun, selepas menundukkan Atlético Madrid dengan agregat 2-1 di separuh akhir kedua pada awal pagi Rabu
Pada aksi timbal balik di Stadium Emirates, skuad kendalian Mikel Arteta itu menang tipis 1-0 hasil jaringan Bukayo Saka pada penghujung babak pertama.
Gol tersebut hadir daripada situasi bola muntah selepas percubaan Viktor Gyokeres berjaya diselamatkan penjaga gol lawan.
Kemenangan itu menyaksikan The Gunners menamatkan kemarau dua dekad untuk kembali ke pentas final selepas kali terakhir mereka melakukannya pada 2006.
Perlawanan berlangsung dalam tempo tinggi dengan kedua-dua pasukan saling berbalas asakan, namun disiplin benteng Arsenal menjadi pemisah apabila mereka berjaya mengekang kebangkitan Atletico hingga wisel penamat.
Kejayaan ini turut memperlihatkan kematangan taktikal Arsenal yang kekal konsisten sepanjang kempen Eropah musim ini, sekali gus membuka peluang untuk menjulang trofi berprestij itu buat kali pertama dalam sejarah kelab.
Arsenal kini menunggu pemenang satu lagi separuh akhir kedua antara Bayern Munich dan Paris Saint-Germain (PSG), dengan final dijadual berlangsung di Budapest, Hungary pada 30 Mei ini.






