Makkah: Sistem giliran serta agihan kuota haji menjadi asas utama Lembaga Tabung Haji (TH) dalam menentukan kelayakan jemaah Malaysia menunaikan ibadah itu tanpa dipengaruhi kemampuan kewangan atau bayaran pakej lebih tinggi.
Pengarah Operasi Pengelola Jemaah Haji (PJH) Anwar Ahmad berkata semua bakal jemaah haji termasuk yang memohon melalui pakej PJH, tetap tertakluk kepada proses dan kriteria sama yang ditetapkan TH.
Beliau berkata terdapat salah faham dalam kalangan masyarakat yang menganggap bayaran pakej mahal mampu mempercepatkan giliran atau meningkatkan peluang kelulusan rayuan haji.
“Perkara itu tidak benar kerana semua rayuan diproses melalui sistem TH berdasarkan keutamaan dan kuota semasa, bukan bergantung kepada harga pakej yang dipilih.
“Bayaran pakej hanya melibatkan perkhidmatan tambahan selepas seseorang itu mendapat kelulusan untuk menunaikan haji,” katanya kepada pemberita, di sini, pada Selasa.
Anwar berkata pendekatan itu penting bagi memastikan prinsip keadilan dan kesaksamaan terus terpelihara dalam pengurusan jemaah haji Malaysia, memandangkan permintaan yang tinggi setiap tahun berbanding kuota yang diperuntukkan.
Katanya, keadaan sedemikian turut diambil kesempatan oleh pihak tidak bertanggungjawab yang menyebarkan maklumat mengelirukan termasuk menjanjikan kelulusan segera melalui pakej tertentu.
“Sindiket juga menggunakan pelbagai taktik seperti mempromosi (pakej tertentu) di media sosial, tawaran eksklusif dan dakwaan mempunyai akses khas, bagi menarik bakal jemaah.
“Sehubungan itu, orang ramai diingatkan bahawa kelulusan haji adalah berasaskan sistem yang telus dan tidak boleh dimanipulasi oleh mana-mana pihak,” katanya.
Anwar berkata bakal jemaah juga perlu membuat semakan melalui saluran rasmi TH termasuk laman web, pusat panggilan atau hadir ke mana-mana pejabat cawangan TH sebelum membuat sebarang keputusan atau bayaran.
“Pastikan setiap tawaran haji datang daripada TH dan hanya berurusan dengan Pengelola Jemaah Haji yang dilesenkan bagi mengelakkan risiko penipuan,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata TH akan terus mempergiat pemantauan terhadap syarikat PJH bagi memastikan semua perkhidmatan yang ditawarkan mematuhi syarat serta menjaga kebajikan jemaah sepanjang berada di Tanah Suci.
© New Straits Times Press (M) Bhd






