Gadis 17 tahun berlumuran darah akibat pil gugur

Gadis 17 tahun berlumuran darah akibat pil gugur


MELAKA: Seorang gadis berusia 17 tahun dimasukkan ke Hospital Melaka dalam keadaan berlumuran darah kerana mengalami keguguran akibat komplikasi pil gugur pada 25 April lalu.

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, susulan itu mangsa dan teman lelakinya berumur 18 tahun ditahan berkait kes menggugurkan kandungan dan menyembunyikan janin.

Katanya, pendarahan berlaku kerana uri tidak berjaya dikeluarkan manakala laporan telah dibuat oleh pegawai perubatan kira-kira pukul 6.50 petang.

Ujarnya, kedua-dua suspek akan didakwa lusa masing-masing di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan dan Seksyen 315 Kanun Keseksaan.

“Kes itu terbongkar apabila polis menerima laporan berkaitan seorang pesakit perempuan telah dimasukkan ke hospital dalam keadaan berlumuran darah selepas dipercayai mengalami keguguran kandungan berusia 22 minggu.

“Polis telah menahan seorang lelaki berusia 18 tahun pada 25 April sebelum disusuli kekasihnya pada Ahad lalu selepas keluar dari Hospital Melaka.

“Suspek memaklumkan bahawa janin yang keluar tidak bernyawa dan telah ditanam oleh teman lelakinya di lokasi yang tidak diketahui,” katanya dalam kenyataan.

Dzulkhairi berkata, kedua-dua suspek merancang untuk menggugurkan kandungan menggunakan pil gugur sebelum tindakan itu membawa kepada komplikasi serius.

“Pendarahan berlaku kerana uri tidak berjaya dikeluarkan selepas suspek dipercayai mengambil pil gugur.

“Suspek lelaki kemudiannya mengambil janin dari rumah suspek perempuan dan merancang untuk menanamnya di belakang rumahnya. Bagaimanapun, janin tersebut disembunyikan terlebih dahulu dalam sebuah kereta Honda City miliknya,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, satu lagi kes turut disiasat membabitkan perbuatan menyembunyikan kelahiran.

Katanya, kes masih dalam siasatan dan akan dirujuk kepada Pejabat Pendakwa Raya Negeri setelah siasatan lengkap dan laporan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) diperoleh.

Katanya, kedua-dua kes disiasat di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Berkaitan kes kedua, katanya, polis menerima laporan daripada seorang wanita pada 25 Mac lalu yang memaklumkan adik perempuannya telah melahirkan bayi secara bersendirian pada Ogos tahun lalu ketika berusia 18 tahun.

Jelasnya, bayi itu diserahkan kepada teman lelaki adiknya tetapi meninggal dunia selepas tali pusat dipotong, sebelum ditanam di hadapan sebuah rumah kosong di Kelemak, Alor Gajah.

“Bayi yang cukup sifat itu telah meninggal dunia sebelum ditanam bagi menyembunyikan kelahiran. Polis kemudian menemui rangka bayi yang dipercayai ditanam kira-kira empat bulan di hadapan rumah mangsa sebelum laporan dibuat,” ujarnya.

Katanya, lima suspek berusia antara 16 hingga 40 tahun ditahan bagi membantu siasatan melibatkan dua lelaki dan tiga wanita. – UTUSAN



Source link

OR

Scroll to Top