Polis mengesahkan bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki akan dipanggil bagi membantu siasatan berhubung dakwaan ugutan terhadap ahli perniagaan, Albert Tei.
Polis rakam keterangan dua saksi
Memetik laporan daripada Berita Harian, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar menyatakan setakat ini polis sudah merakam keterangan dua saksi termasuk Albert, dengan Azam dijangka dipanggil dalam masa terdekat.
“Tindakan itu (panggil Azam untuk bantu siasatan) akan dibuat dalam masa terdekat,” katanya ringkas ketika ditanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang.

Mengulas lanjut, Kumar berkata Albert menerusi sidang media selepas membuat laporan polis pada 13 Mei lalu memaklumkan ugutan terhadapnya diterima melalui seorang peguam.
“Kita sudah kenal pasti mengenal pasti peguam itu dan merakam percakapan individu terbabit selepas kita merakam percakapan Albert.
“Setakat ini siasatan masih berjalan dan kita perlu meneliti semua sudut sebelum membuat rumusan berhubung dakwaan itu.
“Siasatan memerlukan masa dan ia perlu dibuat secara telus. Ia perlu meliputi semua sudut sebelum satu rumusan dibuat berhubung siasatan itu,” katanya mengesahkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu, Kumar berkata kertas siasatan akan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara dalam masa terdekat bagi arahan dan nasihat lanjut.






