Kerajaan hantar pasukan SMART, sumbang AS$1 juta pada Nepal – PM

Kerajaan hantar pasukan SMART, sumbang AS$1 juta pada Nepal – PM


PUTRAJAYA: Kerajaan memutuskan untuk menghantar Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) bagi membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR) susulan bencana banjir yang melanda Nepal.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dengan kerjasama Kementerian Luar Negeri (KLN) dipertanggungjawabkan untuk usaha itu.

Katanya, ia bagi menyelaras dengan Kerajaan Nepal seterusnya membolehkan pasukan itu digerakkan segera mungkin.

“Pasukan SMART turut diamanahkan untuk mengesan dan membawa pulang rakyat Malaysia yang terjejas, selain membantu Kedutaan Besar Malaysia di Nepal menyelaras bantuan serta memastikan keselamatan dan kebajikan mereka.

“Malaysia juga akan menyalurkan sumbangan sebanyak AS$1 juta kepada Nepal bagi membantu mangsa yang terjejas serta menyokong usaha pemulihan pascabencana,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Setakat semalam, seramai 91 rakyat Malaysia yang dipercayai berada di Nepal dan China dilaporkan masih gagal dihubungi selepas banjir besar melanda sempadan Nepal-Tibet pada Rabu lalu.

Daripada jumlah itu, sebanyak 36 rakyat Malaysia dilaporkan gagal dihubungi di China, manakala 55 orang lagi melibatkan mereka yang berada di Nepal. – UTUSAN



Source link

OR

Scroll to Top