Gobena, Jepchirchir kuasai Maraton Sydney

Gobena, Jepchirchir kuasai Maraton Sydney


Sydney: Pelari Ethiopia, Addisu Gobena dan juara dunia dari Kenya, Peres Jepchirchir mencatat kemenangan bergaya dalam kategori lelaki dan wanita pada Maraton Sydney, hari ini.

Kejayaan itu menjadi kemenangan pertama Gobena dalam saingan Maraton Dunia Utama (WMM), manakala Peres menambah koleksi kejuaraannya selepas sebelum ini menjuarai maraton di Boston, New York dan London.

Gobena, 21, yang menduduki tempat kedua tahun lalu, membuat pecutan pada kilometer terakhir untuk menamatkan perlumbaan dalam masa dua jam empat minit 42 saat (s), empat saat mengatasi rakan senegara, Chimdessa Debele Gudeta.

Pelari Lesotho, Tebello Ramakongoana menduduki tempat ketiga.

Lebih mengagumkan, catatan Gobena memecahkan rekod laluan hampir satu minit setengah, manakala juara tahun lalu, Hailemaryam Kiros gagal mengekalkan rentak pada penghujung perlumbaan.

“Saya sangat gembira.

“Tahun lalu saya menduduki tempat kedua. Saya belajar daripada kesilapan itu, pulang ke rumah dan memperbaikinya untuk beraksi dengan lebih baik serta memecahkan rekod hari ini,” kata Gobena.

Menariknya, Gobena sebelum ini merupakan atlet merejam lembing sebelum beralih kepada acara larian jarak jauh dan mula mendapat perhatian antarabangsa selepas memenangi Maraton Dubai 2024.

Dalam saingan wanita pula, Peres tampil terlalu unggul apabila melintasi garisan penamat di hadapan Sydney Opera House dengan catatan 2:18:31s.

Pelari Kenya itu menamatkan perlumbaan hampir empat minit di depan rakan senegaranya, Irine Cheptai, manakala wakil Ethiopia, Shure Demise Ware di tempat ketiga.

“Saya sudah bersedia, tetapi ketika datang ke sini saya tidak pasti sama ada mampu menang. Jadi, saya sangat lega dan gembira.

“Laluannya sangat berbukit. Separuh pertama sangat sukar, tetapi sekurang-kurangnya separuh kedua lebih baik. Namun, ia tetap bukan perlumbaan mudah,” kata Peres.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top