Kad Ronaldo dijual dengan harga RM5.35 juta.
BINTANG bola sepak ternama dunia, Cristiano Ronaldo sekali lagi mencipta sejarah namun kali ini di luar padang apabila kad hobi eksklusif miliknya terjual pada harga jutaan dolar.
Kad pengumpul daripada siri Panini Kaboom 1/1 yang menampilkan bintang Portugal itu berjaya mencecah nilai jualan rekod sekali gus menjadikannya antara barangan berkaitan bintang sukan paling bernilai tinggi ketika ini.
Kad edisi 2018 Panini Kaboom Green 1/1 berkenaan memaparkan gambar Ronaldo ketika beliau menyarung jersi kelab gergasi Itali, Juventus.
Urus niaga tersebut dilaporkan selesai secara persendirian menerusi platform pengumpul terkenal, Fanatics Collect pada harga AS$1.35 juta (kira-kira RM5.35 juta).
Nilai itu sekali gus menetapkan rekod baharu bagi mana-mana kad hobi yang berkaitan dengan Ronaldo.
Daya tarikan kad berkenaan bukan sahaja bersandarkan kepada populariti global Ronaldo, malah statusnya sebagai edisi ‘1-of-1’ yang bermaksud hanya terdapat satu sahaja salinan fizikal seumpamanya di dunia.
Siri Kaboom keluaran Panini sememangnya diakui dalam kalangan pengumpul sebagai antara koleksi yang paling sukar diperoleh dan sangat dicari.
Variasi warna hijau yang diperkenalkan pada tahun 2018 meningkatkan lagi nilai eksklusif kad berkenaan dalam pasaran memorabilia sukan antarabangsa.
Nilai jualan terbaharu itu memecahkan rekod lama kad Ronaldo sebelum ini yang pernah mencatatkan harga sekitar AS$420,000 (kira-kira RM1.7 juta).
Transaksi ini juga meletakkan kad tersebut di kedudukan kedua termahal dalam sejarah kad sukan bola sepak, di belakang kad bintang Argentina, Lionel Messi yang bernilai AS$1.5 juta (kira-kira RM6 juta).






