FIB mengesahkan permohonan Kelantan TRW telah ditolak dan tidak akan beraksi dalam saingan Liga Super musim depan.
KELAB bola sepak Kelantan The Real Warriors (TRW) FC sah tidak akan beraksi dalam saingan Liga Super bagi musim 2026–2027 selepas gagal memperoleh Lesen Kebangsaan.
Badan bebas, First Instance Body (FIB) mengesahkan permohonan yang dikemukakan oleh kelab Pantai Timur itu ditolak berikutan kegagalan memenuhi kriteria yang ditetapkan di bawah Peraturan Pelesenan Liga Bolasepak Malaysia (MFL).
Pemangku Pengerusi FIB, Hussaini Hussin berkata, keputusan rasmi itu dibuat dalam Mesyuarat Jawatankuasa FIB Pelesenan Kelab MFL yang bersidang pada Isnin.
Menurut Hussaini, proses penilaian dibuat secara menyeluruh berdasarkan dokumen yang dikemukakan oleh setiap kelab dengan merujuk kepada Peraturan Pelesenan Kelab MFL Edisi 2025–2026.
“Penilaian ini merangkumi enam kriteria utama iaitu sukan, infrastruktur, personel dan pentadbiran, perundangan, kewangan serta perniagaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, empat lagi kelab iaitu Imigresen FC, Melaka FC, Kuala Lumpur (KL) City FC dan PDRM FC diberikan Lesen Kebangsaan dengan ‘sanction’ mengikut Artikel 8.2 MFL CLR.
“Keempat-empat kelab ini dikehendaki mengemukakan maklumat tambahan kewangan bagi memenuhi keperluan Kriteria Kewangan dan Kriteria Infrastruktur selewat-lewatnya pada 15 Julai.
“Kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan perkara ini dirujuk semula kepada pihak FIB untuk tindakan lanjut. Selain itu, KL City FC dan PDRM FC turut dikenakan denda sebanyak RM45,000 di bawah Artikel 8 (f) MFL CLR,” jelasnya.
Dalam perkembangan sama, FIB mengumumkan tujuh kelab Liga Super berjaya memperoleh Lesen AFC dan Lesen Kebangsaan bagi kitaran kali ini.
Kelab-kelab berkenaan ialah Johor Darul Ta’zim (JDT) FC, Kuching City FC, Selangor FC, Terengganu FC, Negeri Sembilan FC, Penang FC dan Sabah FC.
Bagi saingan Liga AFL A1 pula, empat kelab iaitu Kelantan Red Warrior FC, UM Damansara United FC, Armed Forces FC dan Bunga Raya FC berjaya mendapatkan Lesen Kebangsaan Luar Biasa dengan merujuk kepada Artikel 15 untuk Kitaran Pelesenan Kelab MFL 2025-2026.






