Selangor gagal untuk melakar kebangkitan dalam aksi final kedua Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) di Stadium Chang Arena pada Rabu. – FOTO: Selangor FC
KELAB Thailand, Buriram United terus mengekalkan status selaku ‘Raja ASEAN’ selepas menewaskan Selangor FC 2-1 dalam aksi final kedua Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) di Stadium Chang Arena pada Rabu.
Kemenangan itu menyaksikan Buriram merangkul kejuaraan menerusi agregat 3-1 selepas turut mencatat kemenangan 1-0 pada aksi final pertama di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) minggu lalu.
Skuad Gergasi Merah bagaimanapun terlebih dahulu menceriakan kem pelawat apabila Syahir Bashah berjaya membuka tirai jaringan pada minit ke-18, sekali gus menyamakan kedudukan agregat.
Namun, kelebihan itu tidak bertahan lama apabila tuan rumah bangkit menerusi jaringan Suphanat Mueanta 10 minit kemudian sebelum Theerathon Bunmathan menambah gol kedua pada minit ke-55.
Untuk rekod, Buriram menjuarai ACC musim lalu selepas menewaskan pasukan dari Vietnam, Cong An Ha Noi.





