Kuala Lumpur: Lebih 300 pemimpin tentera dan wakil organisasi antarabangsa dari lebih 30 negara berhimpun di ibu negara bagi menghadiri Persidangan Antarabangsa Military Law and Operations (MILOPS) 2026 ke-37 yang berlangsung selama empat hari bermula semalam.
Persidangan tahunan kali ke-37 itu dianjurkan United States Pacific Command (USPA-COM) dengan kerjasama Kementerian Pertahanan (MINDEF) serta Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Dengan tema ‘From the Seabed to Space: Advancing Security, Freedom and Prosperity for All Across the Indo-Pacific’, persidangan itu bakal menjadi platform memperkukuh kerjasama pelbagai hala dalam mendepani cabaran keselamatan semakin kompleks di rantau Indo-Pasifik.
Ia juga mencerminkan komitmen bersama negara peserta untuk mencegah ancaman, mempertahankan kedaulatan serta melindungi hak setiap negara berlandaskan undang-undang
antarabangsa.
Pemimpin yang menyampaikan ucaptama termasuk Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Setiausaha Agung ASEAN, Dr Kao Kim Hourn; Setiausaha Pertahanan Kebangsaan Filipina, Gilbert C Teodoro Jr dan Komander US-PACOM, Laksamana Samuel J Paparo.
MILOPS 26 menghimpunkan pemimpin kanan ketenteraan, pakar undang-undang keselamatan, pembuat dasar serta ahli akademik bagi membincangkan isu berkaitan undang-undang, operasi ketenteraan dan dasar keselamatan melalui dialog strategik serta pertukaran pandangan.
Persidangan itu turut menjadi medan memperkukuh kerjasama dua hala dan pelbagai hala, selain menggalakkan pematuhan terhadap kedaulatan undang-undang dan prinsip kesaksamaan kedaulatan semua negara.
Terbuka untuk bekerjasama
Terdahulu ketika menyampaikan ucaptama, Mohamed Khaled berkata, peranan Malaysia sebagai tuan rumah pada tahun ini bukan sekadar membabitkan aspek penganjuran.
Katanya, ia mencerminkan keyakinan dan pegangan negara sejak sekian lama bahawa dialog serta libat urus adalah instrumen paling berkesan dalam memelihara keamanan.
Selain itu katanya, ia juga melambangkan pendekatan Malaysia yang sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan semua rakan strategik berlandaskan semangat saling mempercayai dan saling menghormati.
“Bagi Malaysia persidangan seperti MILOPS adalah platform penting untuk membina keyakinan antara negara.
“Platform ini bukan diwujudkan untuk meningkatkan ketegangan atau menggalakkan persaingan, sebaliknya bertujuan memperkukuh persefahaman, kepercayaan profesional dan keyakinan bersama dalam kalangan negara yang berkongsi matlamat sama, iaitu memastikan keamanan dan kestabilan terus terpelihara,” katanya.
Pada masa sama, Mohamed Khaled berkata, perlu ditegaskan bahawa tiada dialog yang benar-benar bermakna mengenai Indo-Pasifik dapat dilaksanakan tanpa ASEAN yang aman dan bersatu.
Katanya, Asia Tenggara berada di tengah-tengah rantau Indo-Pasifik, oleh itu kestabilan ASEAN adalah asas kepada kestabilan rantau yang lebih luas.
“Saya ingin menekankan ASEAN mempunyai seni bina keselamatan yang tersendiri berserta prinsip yang sudah membentuk hala tuju serantau sejak sekian lama.
“Seni bina keselamatan ASEAN ini mesti terus kekal sebagai saluran utama kepada wacana atau kerjasama substantif berkaitan Indo-Pasifik,” katanya.
Justeru, beliau menegaskan Asia Tenggara perlu terus kekal sebagai Zon Aman, Bebas dan Berkecuali (ZOPFAN), iaitu gagasan yang dicetuskan Malaysia di bawah kepimpinan Perdana Menteri Kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein.
Menurut beliau, prinsip ZOPFAN itu kekal relevan sehingga kini di rantau Asia Tenggara yang kaya dengan kepelbagaian budaya, agama, sistem politik dan tradisi.
© New Straits Times Press (M) Bhd






