Kematian pelajar perempuan: Polis tahan teman lelaki ibu

Kematian pelajar perempuan: Polis tahan teman lelaki ibu


PETALING JAYA: Polis menahan teman lelaki kepada ibu seorang pelajar perempuan berusia 14 tahun yang meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan kecemasan di Hospital Kuala Lumpur pada 18 Ogos lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, lelaki berusia 51 tahun itu ditahan bagi membantu siasatan lanjut.

Menurut beliau, penahanan suspek dibuat susulan siasatan terhadap kes kematian remaja berkenaan.

Siasatan turut membongkar dakwaan bahawa suspek dipercayai melakukan gangguan seksual terhadap kakak mangsa yang berusia 15 tahun.

“Remaja perempuan berusia 15 tahun itu merupakan kakak kepada si mati.

“Susulan laporan dan siasatan yang dijalankan, polis telah membuka satu kertas siasatan terhadap suspek di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti keseluruhan fakta dan berkaitan kes berkenaan.

Tambahnya, suspek kini direman tujuh hari sehingga 31 Ogos untuk siasatan lanjut.

Mengulas lanjut, kata Fadil, kira-kira 90 keterangan individu telah diambil pihaknya membabitkan guru, pelajar, keluarga dan lain-lain saksi.

“Siasatan kes ini masih dijalankan dan orang ramai diminta untuk tidak membuat sebarang spekulasi yang mengganggu siasatan,” ujarnya.

Pada 18 Ogos lalu, seorang remaja perempuan berusia 14 tahun meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan kecemasan di Hospital Kuala Lumpur sebelum laporan mati mengejut (SDR) telah dibuka.

Susulan kematian pelajar sebuah sekolah menengah di Setapak itu, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju telah menerima laporan daripada ibu mangsa berhubung dakwaan elemen buli.

Kes kemudian disiasat di bawah Seksyen 507B Kanun Keseksaan berkaitan dengan kesalahan perbuatan atau komunikasi bersifat mengancam, menghina, atau mencela yang sengaja bertujuan menyebabkan gangguan emosi, ketakutan, atau tekanan kepada seseorang. – UTUSAN



Source link

OR

Scroll to Top