Kuala Lumpur: Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail meluangkan masa menziarahi Muhammad Rizz Haziq Mohd Radzi, 5, yang terselamat dalam nahas di Jalan Lama Gombak-Bentong berhampiran Genting Sempah, semalam.
Kanak-kanak itu satu-satunya mangsa yang terselamat dalam tragedi berkenaan yang mengorbankan bapanya, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Maran, Allahyarham Mohd Radzi Rahimi; ibunya, Nuraini Mohammad Jafri, 36; saudara kembarnya, Muhammad Rizz Hazim, 5; serta bapa saudaranya, Mohammad Nizam Mohammad Jafri, 35,
Menerusi hantaran dikongsikan di laman sosialnya, Wan Rosdy dilihat memangku Muhammad Rizz Haziq yang mengalami kecederaan pada bahagian muka sambil menenangkan mangsa.
“Malam tadi, saya menziarahi jenazah Allahyarham Mohd Radzi Rahimi, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Maran di Masjid Kampung Paya Luas, Temerloh sejurus selesai proses bedah siasat.
“Alhamdulillah, saya bersama ahli keluarga, sahabat handai dan jemaah sempat menunaikan solat jenazah serta bacaan tahlil buat Allahyarham serta tiga ahli keluarganya yang turut meninggal dunia dalam kejadian pokok tumbang di Bentong.
“Sayu melihat ahli keluarga dan insan-insan yang rapat dengan Allahyarham turut hadir memberikan penghormatan terakhir.
“Semoga Allah SWT mengurniakan keampunan dan rahmat-Nya kepada Allahyarham, melapangkan kuburnya, menempatkan rohnya dalam kalangan orang yang beriman dan beramal soleh serta mengurniakan kekuatan, ketabahan dan kesabaran kepada seluruh ahli keluarga terutamanya kepada anak Allahyarham,” katanya.
Dalam kejadian 12.30 tengah hari itu, pikap jenis Ford Raptor yang dinaiki lima sekeluarga dipercayai dalam perjalanan dari Bentong menuju ke Janda Baik dihempap sebatang pokok yang tiba-tiba tumbang.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Salahuddin Isa, dilaporkan berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1 tengah hari sebelum menggerakkan lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bentong bersama Pasukan Bomba Sukarela Janda Baik ke lokasi kejadian.
“Operasi mengeluarkan empat mangsa yang tersepit mengambil masa lebih sejam sebelum kesemua mereka disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bentong Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, seorang lagi kanak-kanak lelaki berusia lima tahun yang berada di tempat duduk belakang terselamat selepas mengalami kecederaan dan dihantar ke Hospital Bentong untuk menerima rawatan.
Semua mangsa yang maut kemudian dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh untuk proses bedah siasat.
Jenazah empat sekeluarga itu selamat dikebumikan dalam satu liang sekitar jam 3.15 pagi tadi di Tanah Perkuburan Taman Sri Chedung, Maran, dengan dihadiri hampir 1,000 ahli keluarga, pemimpin politik dan kenalan.
Berita berkaitan:
Tragedi 4 sekeluarga dihempap pokok: Jenazah dikebumikan dalam satu liang lahad
Ketua Pemuda UMNO Maran, isteri dan anak antara 4 maut pikap dihempap pokok di Bentong
Bapa reda kehilangan Mohd Radzi, kenang anak sebagai individu mudah didekati
© New Straits Times Press (M) Bhd






