BANGI: Masjid tidak seharusnya dijadikan medan menyebarkan agenda politik kepartian atau kepentingan puak tertentu yang boleh merosakkan perpaduan serta keharmonian umat Islam.
Mufti Wilayah Persekutuan, Ahmad Fauwaz Fadzil berkata, kerana institusi itu berperanan menyatukan umat Islam dan memperkukuhkan keharmonian masyarakat.
Katanya, penceramah bertauliah perlu mengutamakan penyampaian ilmu agama berbanding membawa pengaruh politik yang boleh mencetuskan perpecahan dalam kalangan jemaah masjid.
“Kecenderungan berkempen ketika musim pilihan raya di masjid sering mengundang aduan ramai sehingga menjejaskan fungsi institusi agama sebagai tempat mendamaikan masyarakat.
“Agenda politik bersifat kronisme tidak sepatutnya dibawa ke dalam masjid kerana umat Islam sudah terlalu banyak berdepan pertelingkahan dalam pelbagai perkara,” katanya sewaktu berucap pada Majlis Hari Suara Sedunia Sempena Muzakarah Pemegang Tauliah 2026 di Dewan Sarjana, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) hari ini.
Tambah Ahmad Fauwaz, pergaduhan bukan sahaja berlaku sesama jemaah, malah turut melibatkan jawatankuasa masjid dan penceramah sehingga menimbulkan suasana kurang harmoni dalam komuniti setempat.
Katanya, setiap pemegang tauliah diwajibkan melalui saringan ketat termasuk penelitian aspek keselamatan, rekod jenayah serta latar belakang kewangan sebelum dibenarkan menyampaikan ceramah agama.
“Penceramah juga digalakkan mengikuti kursus pembangunan kemahiran komunikasi supaya pendekatan dakwah lebih berkesan, tersusun dan mampu menarik minat masyarakat mendekati masjid.
“Seni penyampaian atau ‘fannul ilqa’ penting kerana ceramah agama memerlukan kelembutan, kesopanan serta pengawalan intonasi yang sesuai dengan suasana rumah ibadah.
“Pendekatan terlalu keras dan menyerupai pidato politik tidak sesuai digunakan ketika kuliah agama kerana jemaah hadir ke masjid untuk mendapatkan ketenangan serta bimbingan rohani,” katanya. – UTUSAN






