sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pemain golf profesional negara, Gavin Green berharap Kejohanan Golf Terbuka Malaysia dapat kembali dianjurkan di negara ini selepas kali terakhir diadakan pada 2024 kerana ia mempunyai daya tarikan tersendiri termasuk daripada pemain elit dari Eropah.
Menurut Gavin, ketiadaan kejohanan berprestij itu bukan sahaja memberi kesan kepada pemain profesional tempatan, malah turut menjejaskan pembangunan golf negara terutama dalam usaha melahirkan bakat muda.
Katanya, pertandingan itu adalah kejohanan kebangsaan yang cukup besar dan menjadi kebanggaan buat pemain tempatan untuk beraksi di hadapan penyokong sendiri.
“Sejujurnya saya rasa sedih sebab Terbuka Malaysia adalah kejohanan kebangsaan kita. Sebagai rakyat Malaysia, ramai antara kami memang mahu bermain dalam kejohanan itu. Saya sendiri tidak tahu apa sebenarnya masalah yang berlaku, tetapi kalau boleh saya mahu membantu untuk memastikan kejohanan ini dapat diadakan semula.
“Bukan saja pemain tempatan, malah ramai dari luar negara termasuk di Eropah dan Amerika Syarikat turut bertanya kepada saya mengenai kejohanan ini,” katanya kepada Arena Metro.
Selain itu, ketika ditanya mengenai kesan terhadap pembangunan bakat muda, Gavin mengakui ketiadaan pertandingan berprestij itu memberi kesan kerana pemain muda kehilangan platform terbaik untuk menimba pengalaman di pentas besar.
“Ia memang boleh memberi kesan kepada pembangunan pemain muda, tetapi kejohanan itu perlu diadakan terlebih dahulu. Kalau tiada, memang sukar untuk pemain mendapat peluang dan bergerak ke hadapan. Ramai hanya bercakap, tetapi tiada tindakan.
“Saya harap mereka dapat merealisasikannya kerana ia bukan saja penting untuk pemain, tetapi juga maruah dan kebanggaan golf negara,” katanya.
Tambahnya, Malaysia memiliki banyak padang golf berkualiti dan apa yang diperlukan ketika ini hanyalah sokongan padu daripada semua pihak bagi memastikan kejohanan itu dapat dianjurkan semula.
Sebelum ini, Presiden Persatuan Golf Malaysia (MGA), Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor menyatakan pihaknya akan mengadakan pertemuan rasmi bersama Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari dalam tempoh terdekat bagi membincangkan pelbagai perkara termasuk isu penganjuran Kejohanan Golf Terbuka Malaysia.
Katanya, bantuan daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) itu mampu merealisasikan impian berkenaan selepas kali terakhir dianjurkan pada 2020 kerana kejohanan itu tidak dapat dilangsungkan disebabkan tiada pihak sedia tampil selaku penaja utama.
© New Straits Times Press (M) Bhd






