Tidak sempat jalani rawatan, keluarga infak ubat leukemia kepada pesakit lain

Tidak sempat jalani rawatan, keluarga infak ubat leukemia kepada pesakit lain


Kuala Lumpur: Ubat rawatan leukemia yang diperoleh hasil sumbangan orang ramai untuk seorang wanita dari Limbang, Sarawak akan diinfak kepada pesakit lain yang memerlukan selepas beliau meninggal dunia sebelum sempat menerima rawatan.

Sarimah Mingai berkata keluarganya reda walaupun segala usaha untuk membawa anaknya, Nurul Fithriyani Mahrip, 31, mendapatkan rawatan baharu tidak kesampaian selepas wanita itu mengalami jangkitan kuman ketika dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

“Walaupun arwah tak sempat guna ubat itu, kami harap ia dapat bantu pesakit lain yang perlukan rawatan,” katanya kepada Bernama di Hospital Pakar Pusrawi di sini hari ini.

Beliau berkata keluarganya menetap di ibu kota sejak Oktober 2024, dan sudah tiga kali berpindah rumah sewa bagi memudahkan urusan rawatan Nurul Fithriyani yang disahkan menghidap leukemia kira-kira dua bulan selepas berkahwin.

Sarimah berkata anaknya yang meninggal dunia pada 11 April lepas sebelum ini aktif dan tidak mempunyai masalah kesihatan serius malah sempat menjalani pemeriksaan kesihatan sebelum mendirikan rumah tangga.

Sarimah dan suaminya, Mahrip Onga merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menderma dan menghulurkan bantuan sepanjang usaha mendapatkan rawatan untuk Nurul Fithriyani termasuk Hospital Pakar Pusrawi , PPUM serta Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Pada 5 April lepas, Fadillah berkesempatan menziarahi Nurul Fithriyani serta menyantuni kedua ibu bapa dan suaminya, Mohd Taufiq Abd Rahim.

Sarimah berkata anaknya telah menjalani pelbagai rawatan termasuk kemoterapi, pemindahan sumsum tulang dan pemindahan sel stem namun keadaan kesihatannya kembali merosot apabila sel kanser kembali menyerang.

Sementara itu, Pakar Perunding Hemato-Onkologi Hospital Pakar Pusrawi Kuala Lumpur Dr Mohd Hishamuddin Harun berkata Nurul Fithriyani menghidap kanser darah yang agresif dan memerlukan rawatan intensif serta kos tinggi.

Beliau berkata pesakit itu memerlukan rawatan antibodi atau terapi bersasar namun ubat berkenaan tidak terdapat di Malaysia dan perlu dibawa masuk dari luar negara.

“Kami berjaya mempercepat proses mendapatkan lesen dan bekalan ubat itu tetapi beliau meninggal dunia akibat jangkitan sebelum rawatan dapat dimulakan,” katanya.

Dr Mohd Hishamuddin juga berkata keputusan menginfakkan ubat dan baki dana kepada pesakit lain dibuat selepas mendapatkan pandangan panel syariah hospital.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top