'Jadikan setiap hari sebagai Hari Ibu' – Datuk Bandar MBDK

'Jadikan setiap hari sebagai Hari Ibu' – Datuk Bandar MBDK


Shah Alam : Pengorbanan seorang ibu adalah nadi kepada kekuatan sesebuah keluarga dan sahsiah generasi masa depan yang tidak mampu dibalas walaupun dengan segunung emas.

Menyedari hakikat itu, Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) mengambil inisiatif meraikan golongan berkenaan menerusi Sambutan Hari Ibu 2026 sebagai tanda penghargaan tertinggi atas jasa dan ketabahan mereka.

Datuk Bandar Klang, Datuk Abd Hamid Hussain berkata, sambutan berkenaan bukan sekadar acara tahunan, sebaliknya menjadi wadah untuk masyarakat merenung kembali pengorbanan ibu yang tiada galang gantinya.

“Pengorbanan seorang ibu bermula dari saat mengandung sehinggalah membesarkan anak-anak tanpa mengharapkan sebarang balasan.

“Di sebalik kekuatan sesebuah keluarga, pasti ada ketabahan seorang ibu yang cekal menghadapi pelbagai cabaran hidup,” katanya ketika menyempurnakan majlis itu di Dewan Hamzah MBDK, baru-baru ini.

Dalam majlis yang turut dihadiri isteri beliau, Datin Jamaliah Ab Aziz dan Ahli Dewan Negeri (ADN) Bandar Baru Klang, Dr Quah Perng Fei itu, Abd Hamid turut menitipkan pesanan mendalam buat generasi muda.

Beliau menyeru agar kebajikan ibu bapa, terutama yang sudah warga emas, sentiasa dijaga dengan penuh kasih sayang.

“Jadikanlah setiap hari sebagai Hari Ibu dengan menghormati dan membahagiakan mereka selagi hayat dikandung badan,” tegasnya.

Majlis dimeriahkan dengan forum khas bertajuk perkongsian ilmu yang menampilkan barisan panel hebat antaranya Datuk Lim Juay Jin (Bekas Duta). Datin Sharmila Yahya (Pengerusi Puspanita Selangor) dan Dr Rowena John (Pakar Perubatan Kesihatan Awam).

Selain itu, program turut diserikan dengan Taklimat dan Dialog Mediator Komuniti oleh Pejabat Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Daerah Klang serta Jaksa Pendamai Daerah Klang bagi memperkukuh hubungan kemasyarakatan.

Sambutan penuh bermakna ini turut mendapat kerjasama erat daripada barisan Ahli Majlis MBDK termasuk Ngian Yoke Mooi, Gan Eu Eng dan Kim Kok Thai dalam memastikan kelancaran majlis demi menghargai ‘ratu’ dalam hati setiap keluarga.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top