Pengarah sebuah hospital di Sabah yang didakwa terlibat dalam kes gangguan seksual ditukarkan jawatan sebagai pegawai perubatan biasa di Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Sabah sementara menunggu tindakan selanjutnya.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengambil tindakan pentadbiran berhubung kes berkenaan selepas siasatan dalaman dilengkapkan.
“Pertama, siasatan dalaman telah pun dilengkapkan. Tindakan pentadbiran yang diambil antaranya ialah, pengarah tersebut telah ditukarkan daripada jawatan pengarah kepada pegawai perubatan biasa di JKN Sabah sementara menunggu tindakan selanjutnya.
“Laporan rasmi daripada JKN Sabah telah dikemukakan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berdasarkan gred pegawai tersebut yang mempunyai punca kuasa dan autoriti untuk menangani perkara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyempurnakan Istiadat Konvokesyen 2026 Institut Latihan KKM (ILKKM) Zon Sabah di Universiti Malaysia Sabah (UMS), di sini, hari ini.
Artikel lain: KKM mohon maaf! Sahkan laman web rasmi digodam, orang ramai diminta elak akses
Mengulas lanjut, Dr Dzulkefly menegaskan KKM tidak akan berkompromi dalam isu keselamatan dan kebajikan staf.

“Mangsa juga telah diberikan sokongan dan rawatan psikologi sepenuhnya dan telah kembali bertugas dalam persekitaran yang lebih baik,” katanya.
Sumber: Sinar Harian (Asyikin Asmin)
