redzuan.muharam@hmetro.com.my
Bangi: Biarpun tiada pengalaman, pemuda ini memberanikan diri menjadi bilal ‘bidan terjun’ di sebuah surau berhampiran rumahnya, baru-baru ini.
Keberanian Muhammad Irfan Mohd Sukri, 20, mendapat perhatian warganet berkongsi videonya datang ke sebuah surau kemudian meminta izin daripada seorang bilal untuk melaungkan azan.
Menceritakan kisah itu, Muhammad Irfan yang menetap di Bandar Baru Bangi, di sini berkata, dia sebelum ini pernah menjadi bilal tetapi ketika di belajar di sekolah asrama satu ketika dahulu.
Bagaimanapun, Muhammad Irfan terpanggil untuk menawarkan diri menjadi bilal ketika itu kerana mahu merealisasikan salah satu impiannya yang belum tertunai.
“Tak rancang pun cuma ada simpan keinginan (melaungkan azan) kerana sejak kecil saya solat di situ dan melihat rata-rata bilal bertugas di surau itu sudah berusia dan orang yang sama.
“Jadi, saya beranikan diri datang ke surau pada waktu itu untuk minta izin menjadi melaungkan azan solat Isyak.
“Alhamdulillah, saya dapat maklum balas positif daripada bilal bertugas yang memberi peluang kepada saya untuk melaungkan azan,” katanya kepada Harian Metro.
Menurut Muhammad Irfan, peluang itu sangat bermakna dan satu pengalaman berharga buatnya.
Katanya, dia juga sekadar memuat naik video di TikTok bagi berkongsi pengalamannya dan tidak sangka mendapat perhatian ramai.
“Syukur dapat sempurnakan laungan azan itu…selesai azan, pengerusi jawatankuasa surau datang bertemu saya kemudian menawarkan menjadi bilal.
“Saya hargai peluang diberi namun terpaksa menolak dengan baik kerana baru menerima tawaran menyambung pengajian Ijazah Sarjana Muda Sains Sosial Antropologi dengan Dakwah di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) pada bulan depan.
“Saya khuatir tidak dapat memberi komitmen seperti diharapkan namun andai kata ada tawaran lagi pada masa akan datang, Insya-Allah saya menerimanya ” katanya yang aktif memuat naik perkongsian video berkaitan Sejarah dan turut menjadi tutor subjek itu bagi Tingkatan Empat dan Lima selain menerima undangan daripada pihak sekolah.
© New Straits Times Press (M) Bhd
