am@hmetro.com.my
Georgetown: Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ramli Ngah Talib menegaskan negeri itu tidak boleh sekadar menjadi pemerhati dalam mendepani realiti cabaran global yang semakin mencabar dan tidak menentu.
Beliau berkata, ketegangan yang berlarutan di beberapa rantau strategik dunia termasuk di Asia Barat mencetuskan kesan rantaian terhadap kestabilan pasaran global khususnya dalam sektor tenaga dan rantaian bekalan.
“Dalam mendepani realiti yang serba mencabar ini, Pulau Pinang tidak boleh sekadar menjadi pemerhati.
“Negeri yang berdaulat ini seharusnya terus bertindak proaktif dalam memperkukuh keupayaan dalaman dan daya tahannya.
“(Selain terus) memberi penekanan kepada kecekapan penggunaan tenaga, memperkukuh sekuriti makanan serta memastikan pengurusan fiskal yang berdisiplin dan berwawasan,” katanya ketika berucap pada Istiadat Perasmian Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Ke-15, di sini, hari ini.
Ramli berkata, Malaysia sebagai sebuah negara yang mengamalkan sistem ekonomi terbuka tidak terkecuali menerima tempias perkembangan itu memandangkan kebergantungan negara terhadap rantau berkenaan adalah signifikan.
Katanya, keadaan itu merangkumi kira-kira 61 peratus import minyak, 30 peratus import gas asli cecair serta hampir 40 peratus aliran minyak mentah yang melalui Selat Hormuz.
“Selain itu, ia turut membabitkan keperluan terhadap bahan-bahan kritikal seperti baja, helium dan sulfur yang penting kepada sektor industri dan ekonomi negara.
“Bagaimanapun, asas ekonomi negara masih kekal kukuh dan berdaya tahan hasil tindakan serta langkah positif yang diambil Kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya.
Menurut beliau, berdasarkan unjuran serta data rasmi Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi 2026 dianggarkan antara 4 hingga 5 peratus selain kadar inflasi negara dijangka kekal sederhana dan terus berada jauh di bawah purata jangka panjang iaitu sekitar 1.5 hingga 2.5 peratus.
“Saya yakin Kerajaan Persekutuan akan terus memantau perkembangan ini dengan penuh kebijaksanaan serta mengambil langkah sesuai bagi memastikan kebajikan rakyat terpelihara, bekalan asas terjamin dan pertumbuhan ekonomi negara terus dikekalkan,” katanya.
Ramli dalam pada itu turut mengingatkan seluruh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Pinang agar sentiasa berpegang kepada penyampaian maklumat yang sahih, berhemah dan sentiasa memberi cadangan membina.
Beliau berkata, dalam suasana penuh ketidaktentuan ketika ini, sebarang kenyataan tanpa berasaskan fakta atau bersifat spekulatif hanya akan menimbulkan kegusaran yang tidak perlu dalam kalangan rakyat.
“Kita harus mengingatkan diri kita bahawa tutur kata tidak wajar yang kita zahirkan boleh membawa kesan yang negatif,” katanya,” tegasnya.
© New Straits Times Press (M) Bhd






