Kampung Angkat MADANI bukan sekadar program simbolik, sebaliknya ia diukur melalui kerjasama semua agensi kerajaan dalam memastikan rakyat menerima manfaat dengan lebih cepat dan berkesan.

Kalau semua pakat angkat, ringan jadinya
Memetik laporan daripada Harian Metro, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu menyatakan pendekatan menyeluruh yang dilaksanakan kerajaan menerusi program itu menunjukkan hasil yang memberangsangkan serta memberi impak terus kepada komuniti.
“Program Kampung Angkat MADANI ini bukan program suka-suka. Ini bukan program letak papan tanda, ambil gambar, kemudian semua balik dan habis cerita. Tidak.
“Ia mesti memberi kesan kepada rakyat. Kalau jalan rosak, kita tengok. Kalau kemudahan awam perlu dibaiki, kita usahakan. Kalau komuniti perlu dibantu, kita bantu. Kalau anak muda perlukan latihan, kita buka peluang. Kalau kampung ada potensi pertanian, kita gerakkan.
“Sebab itu pendekatan Kerajaan MADANI ialah ‘whole of government’, maksudnya, bukan satu kementerian saja bekerja tetapi semua kementerian, jabatan, agensi dan pemimpin tempatan mesti turun bersama.
“Kerja kerajaan ini macam gotong-royong juga yang kalau seorang saja angkat meja kenduri, patah pinggang tetapi kalau semua pakat angkat, ringan jadinya. Begitulah kerajaan. Kalau semua agensi bekerja bersama, rakyat dapat manfaat lebih cepat,” katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Kampung Angkat MADANI dan Sekolah Angkat MADANI di Dewan MPKK Kampung Guar Petai, hari ini.
Dalam program itu, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memperuntukkan RM500,000 bagi pembangunan Kampung Guar Petai, manakala Sekolah Kebangsaan Padang Menora turut menerima RM100,000 bagi naik taraf kemudahan pendidikan.

Antara projek yang dilaksanakan termasuk naik taraf jalan kampung, baik pulih rumah usang, pembersihan dan pembesaran longkang, keceriaan masjid serta pemasangan lampu solar.
Sekolah pula menerima penambahbaikan pejabat, bilik guru dan tandas murid bagi keselesaan warga sekolah.
Sumber: Harian Metro (Nur Izzati Mohamad)






