Hidup berkat dari rezeki halal

Hidup berkat dari rezeki halal

Hidup berkat dari rezeki halal


ISLAM mewajibkan umatnya untuk mencari rezeki yang halal melalui sumber pendapatan yang dibenarkan agar dapat meneruskan kehidupan dan beribadah kepada ALLAH SWT.

Bagaimanapun dalam kalangan umat Islam, ada sebahagian yang sering terfikir mengapa rezeki dirasakan sempit? Kenapa hasil pendapatan yang diperolehi tidak sepadan dengan usaha yang dilakukan? Dan kenapa walaupun memiliki banyak harta, hati tetap terasa jauh daripada bahagia?

Khatib memulakan khutbah Jumaat bertajuk Rezeki yang berkat, bahagia dunia dan akhirat dengan berpesan kepada jemaah, dalam usaha mencari rezeki, janganlah mengabaikan prinsip-prinsip agama.

“Jangan kerana mengejar dunia, kita gadai akhirat. Jangan kerana hendakkan cepat kaya, kita langgar halal dan haram.

“Jangan kerana sedikit ujian, kita sanggup rasuah, menipu dan menyalah guna kuasa,” tegas khatib pada permulaan khutbah Jumaat yang disediakan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) yang dibacakan di seluruh negeri itu baru-baru ini.

Khatib kemudian membacakan sepotong ayat al-Quran dari ayat ke-36 surah Sabak: “Sesungguhnya Tuhanku memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendaki-NYA dan DIA juga yang menyempitkan (bagi sesiapa dikehendaki-NYA), akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui (hakikat itu).”

Rezeki diukur dengan keberkatannya

Menurut MAIK, cukup atau tidak rezeki yang diterima bukanlah diukur dengan jumlahnya semata-mata tetapi apa yang penting ialah keberkatannya.

“Tanpa keberkatan, rezeki yang banyak sekali pun manusia tidak akan pernah berasa cukup dan puas.

“Nikmat keberkatan akan semakin dirasai apabila dimanfaatkan ke arah kebaikan serta digunakan ke jalan yang diredai ALLAH.

“Walau apa pun bidang pekerjaan yang kita ceburi sama ada berkhidmat dengan kerajaan, swasta, usahawan, peniaga, pekerja dan sebagainya hendaklah dipastikan rezeki yang didapatkan itu benar-benar halal dan tidak menyimpang dari landasan syariat,” jelasnya.

Sambung khatib, sesungguhnya kunci untuk membuka pintu rezeki yang berkat adalah berkait rapat dengan hubungan seseorang hamba dengan ALLAH SWT.

“Kita diperintahkan menjaga hubungan dengan ALLAH melalui ketaatan, kepatuhan dan kehambaan yang berterusan,” ujar khatib.

Rasulullah SAW memberikan panduan kepada umatnya dalam usaha memperoleh rezeki yang luas lagi berkat iaitu:

1. Bertakwa kepada ALLAH

Mereka yang bertakwa dijanjikan oleh ALLAH dengan limpahan rezeki, bahkan DIA mengurniakan kepada mereka jalan keluar daripada segala kesusahan seperti firman-NYA dalam ayat kedua dan ketiga dalam surah at-Talak yang lebih dikenali sebagai Ayat Seribu Dinar.

2. Taubat dan istighfar

Dalam al-Quran ada disebutkan bahawa bertaubat dan beristighfar adalah antara sebab diperluaskan rezeki berdasarkan ayat ke-52 surah Hud: “Dan (Nabi Hud AS berkata): ‘Wahai kaumku, mohonlah ampun kepada Tuhan kamu kemudian bertaubatlah kepada-NYA. Nescaya DIA akan mencurahkan hujan yang lebat dan menambahkan kamu kekuatan (harta dan anak-anak) di samping kekuatan kamu yang sedia ada dan janganlah kamu berpaling dengan terus melakukan dosa’.”

3. Bertawakal iaitu berserah diri kepada ALLAH

Seseorang yang benar-benar bertawakal kepada ALLAH dengan berusaha bersungguh-sungguh, nescaya akan dilimpahkan rezeki kepadanya sebagaimana rezeki yang dilimpahkan kepada burung.

4. Menghubungkan silaturahim

Anas bin Malik RA meriwayatkan Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang suka dimurahkan rezekinya dan dipanjangkan usianya, maka hendaklah dia mengeratkan hubungan kekeluargaan (silaturahim).” (Hadis Riwayat Al-Bukhari)

5. Memperbanyakkan sedekah

Sedekah merupakan satu amalan yang ajaib kerana semakin kita bersedekah, semakin ALLAH tambahkan lagi rezeki, akan tetapi sedekah itu hendaklah dengan niat yang ikhlas kerana-NYA.

Khatib akhirnya berpesan kepada jemaah agar memperbanyakkan melakukan amal soleh dan menghindari segala perkara yang membawa kemurkaan ALLAH SWT.

“Ingatlah bahawa memberi dan menerima rasuah, salah guna kuasa, mengambil bahan-bahan yang memabukkan dan salah guna dadah serta segala perbuatan haram akan membawa kehinaan di dunia dan akhirat,” ujar khatib. 



Source link

OR

Scroll to Top