Kelab Liga-M perlu pilih import berkualiti

Kelab Liga-M perlu pilih import berkualiti


 

DOMINASI pemain import dalam Liga Malaysia (Liga-M) kembali hangat diperdebatkan apabila ada pihak menggesa Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menilai semula pelaksanaan kuota pemain asing bagi menjaga keseimbangan pembangunan pemain tempatan.

 

Ahli Lembaga Pengarah MFL, Mustaza Ahmad bagaimanapun menegaskan, isu utama bukan terletak pada jumlah pemain import, sebaliknya kemampuan kelab memilih pemain berkualiti yang benar-benar mampu memperkukuh prestasi pasukan dalam Liga Super.

 

Menurutnya, terdapat kelab yang memiliki ramai pemain import namun gagal menyerlah, manakala pasukan dengan jumlah import lebih kecil pula mampu mencatat keputusan lebih baik dalam saingan liga domestik.

 

“Pemain import yang gagal memenuhi standard permainan tidak akan memberi impak kepada pasukan biarpun kuota maksimum digunakan sepenuhnya oleh sesebuah kelab.

 

“Cabaran sebenar ketika ini ialah keupayaan pengurusan kelab mengenal pasti pemain import yang benar-benar menepati corak permainan serta keperluan taktikal pasukan,” katanya.

 

Mustaza berkata, perubahan landskap bola sepak moden menuntut setiap liga bergerak seiring dengan peningkatan tahap persaingan, khususnya bagi memenuhi standard kejohanan peringkat Asia.

 

Berdasarkan peraturan MFL, setiap kelab Liga Super dibenarkan mendaftar 15 pemain import, namun hanya enam boleh diturunkan serentak di atas padang dalam satu masa.

 

Komposisi itu membabitkan empat pemain import terbuka, satu kuota Asia dan satu kuota ASEAN, selain tiga lagi dibenarkan berada di bangku simpanan ketika perlawanan.

 

Mustaza berkata, liga luar seperti Thai League 1 dan Liga 1 Indonesia turut meningkatkan kuota pemain import bagi menyesuaikan diri dengan kehendak bola sepak moden.

 

Menurutnya, langkah itu membuktikan kebanyakan liga serantau kini bergerak ke arah memperkukuh daya saing bagi memastikan standard pertandingan terus meningkat secara positif.

 

Dalam masa sama, beliau menolak tanggapan bahawa peningkatan kuota import menyebabkan pemain tempatan semakin tersisih daripada saingan Liga Super.

 

Sebaliknya, katanya, ramai pemain tempatan tetap menyerlah musim ini termasuk Ramadhan Saifullah dan Rodney Celvin bersama Kuching City FC.

 

Beliau turut memuji kebangkitan beberapa pemain muda seperti Ubaidullah Shamsul Fazili, Ahmad Zikri dan Nooa Laine yang berjaya bersaing secara sihat dalam pasukan masing-masing.

 

Selain itu, penyerang berpengalaman, Safawi Rasid turut mempamerkan peningkatan prestasi bersama KL City FC selepas meledak 13 gol setakat musim ini.

 

Mustaza menegaskan, faktor paling penting ialah kesungguhan pemain tempatan sendiri untuk terus bersaing merebut tempat dalam kesebelasan utama pasukan masing-masing.

 



Source link

OR

Scroll to Top