sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Ketua jurulatih skuad sepak takraw negara, Ahmad Jais Baharun melihat pemilihan Jefri Ahmad ke dalam skuad kuadran kerana dia mempunyai kelebihan dari segi servis dan pertahanan.
Kelebihan itu menepati kriteria yang diinginkan bagi membawa cabaran negara pada Kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw 2026 di Stadium Titiwangsa bermula 16 Mei ini.
Menurut Ahmad Jais, Jefri antara pemain muda yang mempunyai potensi baik serta menunjukkan prestasi cukup konsisten sepanjang sesi latihan diadakan dan itu sesuai dengan perancangan pasukan.
“Kalau kita tengok daripada segi elemen pemilihan, ia berdasarkan kepada potensi pemain, prestasi pemain dan perancangan pasukan. Itu adalah tiga elemen penting dalam pemilihan pemain bagi setiap acara.
“Jefri memiliki potensi yang baik dan dia mampu melakukan servis agak konsisten di samping mempunyai pertahanan lebih baik.
“Jadi itu adalah sebab utama kita membawa dia ke dalam acara kuadran, lebih-lebih lagi dia adalah pemain muda yang mempunyai potensi besar,” katanya.
Selain itu, pemilihan pemain berusia 21 tahun itu bertujuan memberi pendedahan awal bagi menghadapi kejohanan besar pada masa akan datang.
Skuad kuadran negara diundi dalam Kumpulan C bersama India, Korea Selatan dan Singapura.
India dilihat bakal menjadi cabaran utama kepada skuad negara dan kedua-dua pasukan pernah bertemu pada Kejohanan Pra-Sukan Asia 2026 awal tahun lalu yang menyaksikan India menang 2-1 selain muncul juara pertandingan itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd






