Skuad bawah B-16 negara yang muncul naib juara Kejohanan ASEAN B-17 2026 di Indonesia, April lepas. Foto FAM
PENSTRUKTURAN semula Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) mula menunjukkan bibit kejayaan hasil kerjasama teknikal antara Majlis Sukan Negara (MSN) dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
Ketua Pengarah MSN, Jefri Ngadirin berkata, petanda awal keberkesanan perubahan struktur tersebut dapat dilihat menerusi pencapaian skuad bawah 16 Tahun (B-16) negara yang muncul naib juara Kejohanan ASEAN Bawah 17 Tahun (B-17) 2026 di Indonesia, April lepas.
“Untuk NFDP sebagaimana kita telah pun umumkan tahun lepas bahawa semua aspek teknikal akan dikendalikan daripada pihak FAM. Kita lihat sudah ada bibit kejayaan apabila dalam kejohanan bawah 17 tahun tempoh hari kita mendapat naib juara.
“Jadi ini adalah perubahan kecil yang kita lakukan supaya kita dapat memastikan pemain NFDP dapat digarap untuk kejayaan lebih besar akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Perasmian Kem Fasa 1 Temasya Sukan Para ASEAN 2027 di Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik Kampung Pandan di sini pada Isnin.
Pada masa sama, beliau berkata, peruntukan yang diterima daripada kerajaan akan diuruskan secara optimum bagi memenuhi keperluan pengurusan jurulatih, atlet, dan pemantauan prestasi secara menyeluruh.
Sebagai rekod, Malaysia muncul naib juara Kejohanan ASEAN B-17 2026 selepas tumpas kepada Vietnam 0-3 pada perlawanan akhir. – Bernama






