Balai Seni Negara rai seniman muda, umum pemenang BMS29 di Langkawi

Balai Seni Negara rai seniman muda, umum pemenang BMS29 di Langkawi


Balai Seni Negara mengumumkan pemenang Anugerah Utama Pertandingan Bakat Muda Sezaman Edisi Ke-29 (BMS29) dalam satu majlis rasmi di Balai Seni Negara Langkawi, pada Sabtu.

Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Datuk Mohd Yusri Mohd Yusoff.

Balai Seni Negara menerusi satu kenyataan berkata, Anugerah Utama bernilai RM40,000 telah dimenangi oleh  menerusi karya Unharvested Futures: Voices of The Field yang dipamerkan di kawasan sawah padi, Pulau Tuba, Langkawi.

Menurutnya, karya tersebut menonjol dari segi kekuatan idea serta impaknya terhadap komuniti setempat melalui pendekatan yang dekat dengan kehidupan dan persekitaran masyarakat.

“Karya tersebut menyerlah dari segi kekuatan idea, selain berjaya memberikan impak menyeluruh terhadap komuniti setempat menerusi pendekatan yang dekat dengan kehidupan, persekitaran dan suara masyarakat tempatan,” katanya.

Balai Seni Negara berkata, empat Anugerah Juri turut disampaikan kepada Aiman Yusri Mohamad Yusoff, Khairul Ehsani Sapari, Muhammad Ismail Rahim serta Lim Xiao Mun & Helmi Azam Tajul Urus, masing-masing membawa pulang RM15,000.

“Anugerah Juri diberikan kepada karya yang menonjol dari segi pendekatan artistik serta penerokaan karya yang diketengahkan menerusi BMS29,” ujarnya.

Sementara itu, sembilan Anugerah Harapan turut diberikan sebagai pengiktirafan terhadap potensi dan kualiti karya peserta dengan hadiah RM1,000 setiap seorang.

“Anugerah Harapan diberikan sebagai pengiktirafan terhadap potensi dan kualiti karya yang dipamerkan,” kata kenyataan tersebut.

BMS29 tahun ini mengetengahkan pendekatan “Lokasi Spesifik” (Site-Specific) dengan Langkawi sebagai lokasi utama pengkaryaan di mana sebanyak 16 karya dipamerkan di pelbagai lokasi termasuk Pasar Awam Kuah, Pantai Taman Lagenda, Jeti Pulau Tuba, Hospital Lama Kuah, Tasik Teluk Kedak, Dataran Lang dan Jetty Point.

Balai Seni Negara memaklumkan, karya yang dipamerkan merangkumi instalasi, media campuran, digital, persembahan dan interaktif yang mengangkat naratif komuniti, sejarah dan ekologi setempat.

“Pendekatan ini memberi ruang kepada peserta untuk menghasilkan karya yang berakar daripada sejarah, budaya, ekologi serta naratif masyarakat setempat.”
“Melalui pendekatan ini, BMS29 bukan sahaja menjadi platform pertandingan, malah menghidupkan ruang awam sebagai medan apresiasi seni yang lebih inklusif bersama komuniti setempat,” jelasnya.

Sementara itu, Balai Seni Negara turut merakamkan penghargaan kepada Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Japan Foundation Kuala Lumpur, Jetty Point Langkawi, Langsura Geopark Sdn. Bhd., The Riyaz Lavanya Langkawi, Bon Ton Locale, BESTUBA serta komuniti Pulau Tuba atas sokongan dan kerjasama dalam menjayakan program tersebut.

“Setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih dirakamkan kepada semua pihak yang telah memberikan sokongan, kerjasama dan komitmen dalam menjayakan penganjuran BMS29.
“Balai Seni Negara berharap BMS akan terus menjadi platform penting dalam memperkasa pembangunan seniman muda serta memperkukuhkan landskap seni negara di peringkat tempatan dan antarabangsa,” tambahnya lagi.

Pameran BMS29 kini dibuka kepada orang awam sehingga 26 Julai 2026.

Turut hadir Pengerusi Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara (LPSVN), Prof. Madya Dr. Jalaini Abu Hassan, Ketua Pengarah Balai Seni Negara, Amerrudin Ahmad, pegawai-pegawai kanan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), jabatan dan agensi berkaitan serta para penggiat seni tanah air.





Source link

OR

Scroll to Top