Sebanyak 11 ekor gajah Borneo berjaya diselamatkan selepas terperangkap dalam kolam air terbiar berhampiran Hutan Simpan Deramakot di Ladang FGV Cepat Ringgit B, Kinabatangan, Sabtu lalu.
Menurut perkongsian di halaman Facebook 5R Hidupan Liar, kejadian itu melibatkan seekor anak gajah bersama 10 gajah dewasa yang tidak dapat keluar dari kawasan kolam berikutan keadaan tebing yang curam dan licin.
“Tanpa berlengah, pasukan Jabatan Hidupan Liar (JHL) daerah Kinabatangan segera hadir ke lokasi dan melaksanakan operasi menyelamat kawanan gajah tersebut dengan membentuk laluan keluar yang lebih landai dan selamat.
“Berkat usaha dan kerjasama semua pihak, kawanan gajah tersebut berjaya diselamatkan tanpa sebarang kecederaan serius dilaporkan,” menurut hantaran itu.
Sementara itu, 5R Hidupan Liar berkata pihak JHL Sabah turut mencadangkan supaya kolam terbiar berkenaan ditutup atau dipasang halangan keselamatan bagi mengelakkan kejadian sama berulang.
Katanya, JHL turut merakamkan penghargaan kepada pekerja ladang dan individu yang menyalurkan maklumat awal sehingga operasi menyelamat dapat dijalankan dengan segera.
“Kisah ini membuktikan bahawa kerjasama antara agensi, pihak ladang dan masyarakat amat penting dalam memastikan keselamatan hidupan liar terus terpelihara,” katanya.

Untuk rekod, gajah Pygmy Borneo merupakan subspesies gajah Asia yang hanya ditemui di Sabah dan sebahagian kecil Kalimantan, Indonesia.
Ia dikenali dengan saiz badan lebih kecil berbanding kebanyakan gajah Asia lain, selain mempunyai ekor lebih panjang dan telinga yang agak besar.
Spesies itu juga dikategorikan sebagai terancam dengan populasi liar di Sabah dianggarkan sekitar 1,500 ekor ketika ini.
Ancaman utama termasuk kehilangan habitat akibat pembangunan, pembalakan, peluasan ladang serta konflik manusia dan hidupan liar.
Kinabatangan pula antara habitat penting bagi spesies berkenaan kerana kawasan hutan dan koridor sungainya menjadi laluan semula jadi pergerakan kawanan gajah di timur Sabah.
KREDIT GAMBAR: FACEBOOK 5R HIDUPAN LIAR



