mohamadridzuan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: “Terima kasih kepada Zua. Tanda kasih ukhuwah sesama kita, XPDC Kita Peng Yu (KPY) dan team serta penyumbang,” kata penyanyi Ali XPDC.
Ali atau nama sebenar Mohd Ali Ismail, 58, yang kini terpaksa melupakan bidang nyanyian akibat masalah kesihatan, melahirkan perasaan terharu dengan sumbangan diterimanya.
“Sudah dua kali saya menerima sumbangan daripada (pasukan) Zua. Terima kasih banyak-banyak. Tiada apa-apa yang mampu saya ucapkan. Doakan saya ya,” katanya menerusi aplikasi WhatsApp.
Zua dan Ali pernah bersama dalam XPDC sebelum kumpulan rock legenda itu berpecah dalam meneruskan aktiviti muzik masing-masing.
Sumbangan yang diterima Ali adalah hasil inisiatif Zua yang menggerakkan tabung sumbangan daripada peminat menerusi persembahan XPDC KPY di pelbagai lokasi.
Ali berkata, dia kini mengehadkan pergerakan dan terpaksa menggunakan kerusi roda.
“Saya kini menjalani pemeriksaan secara berkala di hospital. Doktor akan periksa jantung, paru-paru dan sebagainya.
“Pernafasan saya kadang kala okay dan kadang kala tidak. Pergerakan saya pun terpaksa dibantu dengan tongkat,” katanya.
Ali kini tinggal bersama anak-anak dan menantu serta seorang cucu perempuan yang kini berusia setahun.
© New Straits Times Press (M) Bhd






