Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari (tengah) bergambar bersama atlet hoki kebangsaan selepas menyaksikan sesi menandatangan memorandum antara Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Seri Subahan Kamal (dua dari kiri) dan Presiden juga Ketua Pegawai Eksekutif Tenaga Nasional Berhad (TNB), Datuk Shamsul Ahmad (tiga dari kanan) dalam Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) Penajaan antara TNB dan KHM bagi Tahun 2026 hingga 2030 di Leo Moggie Convention Centre (LMCC) TNB Platinum. Foto: Bernama
TENAGA Nasional Berhad (TNB) terus membuktikan komitmen jitu dalam memperkasakan sukan hoki tanah air apabila memeterai kontrak penajaan baharu bersama Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) bagi tempoh 2026 hingga 2030.
Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Shamsul Ahmad berkata, sebanyak RM25 juta diperuntukkan khusus buat KHM bagi menyokong ekosistem pembangunan hoki secara menyeluruh.
Suntikan dana bagi tempoh lima tahun itu meliputi tajaan kepada KHM merangkumi pelbagai inisiatif pembangunan akar umbi, penganjuran kejohanan serta bantuan khusus kepada sekolah-sekolah di seluruh negara.
“Di TNB, kami percaya sukan memainkan peranan penting dalam membentuk disiplin, semangat berpasukan dan jati diri generasi muda.
“Sebab itu, sokongan kami terhadap hoki bukan sekadar tajaan korporat tetapi satu pelaburan jangka panjang untuk pembangunan belia dan masa depan sukan negara.
“Kita ingin melihat sukan hoki ini mendapat kejayaan dan dimartabatkan. Harapan kita satu hari nanti, kita mampu menjadi juara dunia, Insya-ALLAH,” katanya selepas Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MOA) Penajaan antara TNB dan KHM pada Selasa.
Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari.
Komitmen TNB terhadap sukan hoki negara telah bermula sejak tahun 2006 dengan tajaan lebih RM60 juta yang membuahkan hasil signifikan antaranya melalui program TNB Thunderbolts yang telah melahirkan lebih 100 pemain hoki kebangsaan.
Selain itu, program Sekolah Angkat Hoki TNB yang melibatkan tujuh sekolah sukan dan harian di seluruh negara terus diperkasa bagi memastikan kesinambungan bakat baharu negara.
Dalam pada itu, Presiden KHM, Datuk Seri Subahan Kamal menzahirkan penghargaan atas sokongan berterusan TNB yang menjadi tunjang kekuatan sukan hoki negara selama ini.
“Alhamdulillah, TNB sangat memahami keperluan dana bagi menggerakkan persatuan. Kita akan memastikan dana RM25 juta ini digunakan sebaik mungkin untuk meningkatkan prestasi skuad hoki negara serta melahirkan lebih banyak kejayaan di persada antarabangsa,” ujarnya.
Melalui kerjasama ini, TNB sekali lagi membuktikan peranan sebagai organisasi yang komited bukan sahaja kepada pembangunan tenaga, malah dalam membina ekosistem sukan yang inklusif, kompetitif dan berprestasi tinggi selaras dengan Visi Sukan Negara 2030.



