Kementerian Perpaduan Negara (KPN) mengukuhkan komitmen dalam memartabatkan sejarah tanah air sebagai agenda nasional bagi memastikan ia kekal menjadi teras pembinaan negara bangsa dan jati diri rakyat Malaysia.
Menterinya, Datuk Aaron Ago Dagang menegaskan bahawa sejarah bukan sekadar himpunan fakta masa lalu, sebaliknya merupakan “DNA” penting yang menghalang negara daripada kehilangan arah dan identiti.
Sebagai langkah strategik, KPN melalui Arkib Negara Malaysia menganjurkan Konvensyen Sejarah Nasional (KSN) 2026 bertemakan “Bersama Membina Negara Bangsa” yang dijadualkan berlangsung pada 12 hingga 13 Mei 2026 di Perlis.

Penganjuran ini bertujuan mengarusperdanakan sejarah sebagai identiti nasional, sekali gus menangani fenomena historical amnesia atau penyakit lupa sejarah yang kini dilihat mampu menghakis jati diri bangsa.
“Kenapa ini penting sekarang? Dalam mendepani arus globalisasi, kita juga berhadapan dengan fenomena “one-dimensional narrative” atau pemikiran sehala, di mana sejarah dilihat dari sudut yang sempit dan terpisah daripada konteks sebenar,” katanya.

Jelasnya, pengukuhan literasi sejarah amat kritikal bagi Generasi Z yang kini terdedah kepada limpahan maklumat pantas namun tidak semestinya mendalami.
Beliau menyifatkan sejarah sebagai alat kelangsungan hidup atau survival tool yang berfungsi membina pemikiran kritikal dalam kalangan anak muda untuk menapis naratif sehala serta kekal berakar pada identiti negara.
Tanpa asas sejarah yang teguh, usaha mewujudkan rasa kebersamaan dan kesetiaan terhadap negara akan menjadi lebih mencabar.
Penganjuran KSN sebelum ini telah membuktikan impak nyata melalui empat pencapaian utama, antaranya penubuhan Majlis Sejarawan Negara (MSjN), usaha membawa pulang bahan sejarah dari luar negara, pengukuhan prinsip Rukun Negara, serta mengekalkan sejarah sebagai subjek wajib dalam sistem pendidikan.

Bagi edisi 2026, konvensyen ini akan memperluaskan skop perbincangan merangkumi institusi beraja, gerakan nasionalisme, sistem pentadbiran, serta kesejahteraan masyarakat MADANI dalam usaha menjamin masa depan negara yang lebih utuh.






