Jitra Half Marathon kembali September ini

Jitra Half Marathon kembali September ini


ALOR SETAR: Jitra Half Marathon (JHM) 2026, anjuran Bina Darulaman Berhad (BDB) yang kini memasuki edisi keempat penganjurannya, bakal kembali menghangatkan arena sukan larian di wilayah utara apabila dijadualkan akan berlangsung pada 19 September 2026 di Darulaman Park, Jitra, Kedah.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BDB, Che Abdul Khalid Md Din berkata, JHM 2026 kembali mewarnai kalendar acara BDB Leisure Sdn. Bhd., dengan kali terakhir dianjurkan pada tahun 2023, sebelum edisi 2024 terpaksa dibatalkan berikutan bencana banjir yang melanda negeri Kedah.

Menurutnya, JHM 2026 menyasarkan 2,200 jumlah penyertaan termasuk dari dalam dan luar negara yang akan dibahagikan kepada tiga kategori utama larian melibatkan iaitu 21kilometer (km), 10km, dan 5km.

“JHM 2026 pada kali ini tampil dengan lebih bergaya dan meyakinkan dengan menawarkan hadiah menarik, termasuk wang tunai serta pelbagai barangan cabutan bertuah kepada para peserta.

“Sehubungan itu, Kumpulan BDB berharap orang ramai bukan sahaja di Kedah, malah dari seluruh negara serta luar negara tidak melepaskan peluang untuk mengambil bahagian dalam penganjuran JHM pada tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Untuk rekod, JHM buat kali pertama dianjurkan pada tahun 2022 dengan menyaksikan penyertaan seramai 1,200 peserta dan jumlah tersebut meningkat kepada 1,500 peserta pada tahun berikutnya.

Tambahnya, orang ramai disaran merebut peluang pendaftaran awal menerusi tawaran Early Bird yang dibuka sehingga 31 Mei 2026 dengan kadar yuran RM80 bagi kategori 21km, RM65 (10km) dan RM50 bagi kategori 5km Fun Run.

“Bagi tempoh pendaftaran bermula 1 Jun 2026 sehingga 31 Julai 2026, yuran penyertaan ditetapkan pada kadar RM95 (21km), RM85 (10km) dan RM65 (5km Fun Run).

“JHM 2026 akan menjadi acara ikonik bagi Daerah Kubang Pasu sekaligus mengukuhkan reputasi Darulaman Park sebagai destinasi acara sukan dan rekreasi, di samping memainkan peranan dalam membantu Kerajaan Negeri Kedah menarik kedatangan pelancong menerusi penganjuran program sukan (Sport Tourism) seperti ini,” katanya.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi talian 04-913 1402 dan 019-477 4580 serta serta membuat pendaftaran secara dalam talian menerusi checkpointspot.asia/event/jitrahalf-marathon26.



Source link

OR

Scroll to Top