Seramai 2,333 penjawat awam Selangor bakal menikmati moratorium bayaran balik pinjaman perumahan selama tiga bulan menerusi Skim Pinjaman Perumahan Kerajaan Negeri melibatkan tempoh Oktober hingga Disember 2026.
Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata, kemudahan itu disediakan menerusi peruntukan RM2.54 juta bagi membantu meringankan beban kewangan penjawat awam yang layak.
“Bantuan ini bakal memanfaatkan seramai 2,333 penjawat awam di negeri Selangor mengikut permohonan,” katanya ketika membentangkan Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor pada Mesyuarat Khas Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor di Shah Alam, Jumaat lalu.
Dalam masa sama, Kerajaan Negeri turut memperuntukkan RM7 juta bagi melaksanakan Pembiayaan Daya Tahan Usahawan Tani Selangor menerusi kerjasama dengan Yayasan Hijrah Selangor.
Melalui inisiatif itu, seramai 500 usahawan tani akan ditawarkan pembiayaan sehingga RM10,000 seorang, dengan kos keuntungan ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri sekali gus membolehkan pinjaman diberikan tanpa faedah.
“Selain bantuan tunai bersasar, Kerajaan Negeri turut memberi perhatian kepada kemampanan dan kelangsungan kewangan usahawan tani agar industri ini berupaya menawarkan peluang pekerjaan dan kerjaya yang mampan untuk jangka masa panjang,” katanya.
Kedua-dua langkah tersebut merupakan sebahagian daripada 15 inisiatif baharu yang diumumkan menerusi Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor Fasa 2 melibatkan peruntukan keseluruhan RM209.26 juta.
Sebelum ini, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan RM145.8 juta bagi pelaksanaan Fasa 1 yang merangkumi tujuh inisiatif dan kini sedang dilaksanakan.
KREDIT GAMBAR UTAMA: KOSMO






