Kerajaan Selangor menawarkan rebat cukai taksiran sehingga 100 peratus kepada pemilik kediaman yang memasang kemudahan teknologi hijau termasuk panel solar, sebagai usaha mempercepat peralihan ke arah pembangunan rendah karbon dan mampan.
Insentif itu turut meliputi pemasangan sistem penuaian air hujan, kemudahan kitar semula, sistem pengkomposan sisa makanan serta unit pengecasan kenderaan elektrik.
Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata setiap pihak berkuasa tempatan (PBT) akan menyediakan dana khas bagi menjayakan inisiatif berkenaan mengikut kategori masing-masing.
“Setiap pihak berkuasa tempatan (PBT) akan menyediakan dana antara RM100,000, RM200,000 dan RM1.5 juta mengikut peringkat Majlis Daerah, Majlis Perbandaran, dan Majlis Bandaraya.
“Ia untuk manfaat rakyat mengikut proses permohonan yang akan diselaraskan dan dipermudahkan untuk urusan di peringkat PBT,” katanya ketika membentangkan Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor Fasa 2 pada Sidang Khas Dewan Negeri Selangor.
Menurut Amirudin, langkah itu diambil sejajar komitmen kerajaan negeri untuk mencapai matlamat Selangor sebagai negeri neutral karbon pada masa depan, selain menggalakkan penggunaan teknologi hijau dalam kalangan rakyat.
Beliau berkata krisis bekalan global yang berlaku ketika ini turut menunjukkan keperluan untuk Selangor mempercepat peralihan kepada sumber tenaga yang lebih bersih dan mampan.
“Waima demikian, Kerajaan Negeri turut memahami bahawa faktor kos boleh menjadi kekangan kepada rakyat Selangor untuk memasang fasiliti ini di rumah mereka,” ujarnya.
Terdahulu, Amirudin mengumumkan peruntukan keseluruhan RM355.06 juta menerusi Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor Fasa 1 dan Fasa 2 bagi membantu negeri itu berdepan krisis bekalan susulan konflik di Asia Barat.
Daripada jumlah itu, RM145.8 juta diperuntukkan untuk Fasa 1 yang sedang dilaksanakan melalui tujuh inisiatif, manakala RM209.26 juta lagi disalurkan bagi Fasa 2 yang merangkumi 15 inisiatif baharu.
KREDIT GAMBAR UTAMA: BUYSOLAR





