sukan@hmetro.com.my
Kuala Terengganu: Negeri Sembilan muncul juara Liga Hoki Wanita Malaysia (LHWM) selepas menumpaskan Terengganu 6-0 pada aksi terakhir yang berlangsung di Stadium Hoki Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) sebentar tadi.
Lebih manis kejayaan itu diraih selepas skuad bimbingan Saiful Azli Abd Rahman itu mengekalkan rekod tanpa kalah dan tanpa bolos sepanjang saingan liga dengan meledak 50 gol keseluruhan.
Dengan kemenangan itu, skuad pelawat gah di persada liga dengan mengumpul 18 mata menerusi enam perlawanan manakala tuan rumah yang dibimbing Fakri Ardillah Saifullah perlu menanti pertemuan Pahang dengan Territory Stingers sebelum mengesahkan tempat ketiga ataupun keempat selepas mengumpul sembilan mata juga menerusi enam perlawanan.
Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Hoki Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) itu, pemain meningkat naik, Nurfatin Dizana Mohd Zaidi membuka tirai jaringan pada minit ke-10 selepas dia bijak menyambar bola berpunca pukulan sudut penalti.
Pasukan Terengganu berpeluang menyamakan kedudukan hasil serangan pantas, namun kegopohan rangkaian penyerang tuan rumah menggagalkan usaha berkenaan.
Sebaliknya pelawat berjaya menambah jaringan kedua juga berpunca menerusi pukulan sudut penalti selepas Putri Nur Batrisyia Nor Nawawi hanya menguis bola untuk menewaskan penjaga gol, Siti Zalia Nasir pada minit ke-27.
Pelawat berjaya menambah jaringan ketiga juga menerusi pukulan sudut penalti sesudah bekas pemain kebangsaan, Nur Syafiqah Mohd Zain mudah menolak masuk gol pada minit ke-37.
Pelawat terus mengganas apabila berjaya menambah jaringan keempat menerusi pukulan kilas Nuramirah Shakirah Zulkifli untuk pasukannya mendahului 4-0 juga pada minit ke-37.
Pemain kebangsaan itu membuktikan ketajamannya selepas berjaya menambah jaringan kelima pasukannya pada minit ke-49 sebelum pemain import kelahiran India, Vandana Katariya menambah derita tuan rumah selepas meledak gol keenam menerusi pukulan deras untuk melengkapkan detik kemenangan besar 6-0 pasukannya.
© New Straits Times Press (M) Bhd






