Dalam tempoh dua tahun sejak 2024, seramai 117 individu berkaitan aktiviti pedofilia dan eksploitasi seksual kanak-kanak ditahan menerusi empat operasi utama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Lebih mengejutkan, pihak berkuasa merampas 1,470,694 fail digital pornografi termasuk 204,934 fail Child Sexual Abuse Material (CSAM) yang telah disahkan.
Itu cuma yang berjaya dikesan dan dirampas.
Sebanyak 162 lokasi turut diserbu dengan 272 peranti dirampas, sekali gus menunjukkan aktiviti ini bergerak aktif dan bukan sekadar kes terpencil.
Daripada jumlah tangkapan itu pula, 101 individu telah didakwa di mahkamah.
Bila angka jadi sebesar ini, sukar untuk kita anggap internet sekadar ruang hiburan atau tempat budak-budak “scroll” video lucu setiap malam.
Realitinya, ramai kanak-kanak sekarang memasuki media sosial tanpa sebarang benteng umur yang benar-benar ketat.

Dalam ruang yang sama, wujud kandungan pornografi ekstrem, grooming, manipulasi seksual dan individu asing yang mencari mangsa secara senyap.
Kadang-kadang semuanya bermula dengan satu mesej ringkas.
Lantaran itu, cadangan had umur minimum 16 tahun untuk penggunaan media sosial mula dilihat sebagai langkah yang semakin sukar untuk ditangguhkan.
Ia bukan untuk menyekat kanak-kanak daripada teknologi, tetapi memastikan platform digital lebih bertanggungjawab terhadap siapa yang berada dalam aplikasi mereka.
Kalau platform boleh kenal minat pengguna sehingga iklan pun tepat ke sasaran, kenapa soal umur dan keselamatan masih terlalu longgar?
Ramai ibu-bapa mungkin rasa anak mereka selamat kerana berada di rumah, sedangkan ancaman hari ini tidak lagi semestinya berlaku di luar pagar rumah.
Ia boleh berlaku dalam telefon yang dipegang setiap hari, di ruangan DM, live stream dan kumpulan sembang yang kita sendiri tidak pernah lihat.
Mungkin sudah tiba masanya keselamatan kanak-kanak di internet dianggap sama penting seperti keselamatan mereka di dunia sebenar.
Dan jika terus bersikap ambil mudah, kita sebenarnya sedang membiarkan risiko ini membara dalam senyap dan membinasakan anak-anak yang naif dan tidak berdosa.





