PENCINTAAN umat Islam terhadap para sahabat Rasulullah SAW bukan sekadar sentimen sejarah, bahkan ia merupakan sebahagian daripada pegangan akidah Ahli Sunah Waljamaah. Antara sahabat yang paling agung kedudukannya ialah Saidina Abu Bakar al-Siddiq dan Saidina Umar ibn al-Khattab. Kedua-duanya diiktiraf oleh para ulama sebagai insan paling mulia selepas para nabi dan rasul.
Perkara ini ditegaskan dalam kitab akidah tertua karya Imam Abu Hanifah yang menjelaskan bahawa manusia paling afdal selepas Rasulullah SAW ialah Saidina Abu Bakar al-Siddiq, kemudian Umar al-Khattab, kemudian Uthman bin Affan dan seterusnya Ali bin Abi Talib. Imam Abu Hanifah menyebut bahawa mereka semua berada di atas kebenaran dan memerintah dengan petunjuk yang benar.
Demikian juga dalam kitab akidah masyhur Salaf iaitu Aqidah al-Tahawiyyah karya Imam Abu Ja’far al-Tahawi. Beliau menegaskan bahawa khalifah selepas kewafatan Rasulullah SAW ialah Saidina Abu Bakar al-Siddiq, kemudian Saidina Umar al-Khattab, kemudian Saidina Uthman bin Affan dan kemudian Saidina Ali bin Abi Talib. Mereka adalah insan yang diutama dan didahulukan ke atas sekalian manusia. Mereka disifatkan sebagai khalifah yang mendapat petunjuk dan imam yang membawa manusia kepada hidayah.
Kesepakatan para ulama mengenai keutamaan Saidina Abu Bakar dan Umar menunjukkan kedudukan mereka yang sangat tinggi di sisi Allah SWT. Namun, para ulama turut membincangkan persoalan sama ada kedudukan mereka lebih mulia daripada malaikat ataupun tidak. Dalam isu ini terdapat khilaf dalam kalangan ulama.
Sebahagian ulama menjelaskan bahawa makhluk paling mulia ialah para rasul, diikuti para nabi yang bukan rasul, kemudian empat malaikat utama iaitu Jibril, Mikail, Israfil dan Izrail. Selepas itu barulah kedudukan empat khalifah Islam yang dipimpin oleh Abu Bakar dan Umar.
Imam Mulla Ali al-Qari menjelaskan bahawa empat malaikat utama mempunyai kedudukan lebih tinggi daripada empat khalifah. Susunan kemuliaan makhluk menurut beliau ialah Nabi Muhammad ﷺ di tempat tertinggi, diikuti Rasul Ulul Azmi iaitu Nabi Nuh, Ibrahim, Musa dan Isa, kemudian seluruh rasul, kemudian nabi-nabi yang bukan rasul, seterusnya empat malaikat utama dan selepas itu empat khalifah Islam.
Selepas empat khalifah, kedudukan paling utama dalam kalangan umat ini ialah sepuluh sahabat yang dijamin syurga ketika masih hidup. Dalam Aqidah al-Tahawiyyah disebut bahawa Rasulullah ﷺ SAW sendiri menamakan mereka dan memberikan khabar gembira dengan syurga. Mereka ialah Abu Bakar, Umar, Uthman, Ali, Talhah bin Ubaidillah, al-Zubair bin al-Awwam, Sa’ad bin Abi Waqqas, Sa’id bin Zaid, Abdurrahman bin Auf dan Abu Ubaidah al-Jarrah.
Sesudah kelompok tersebut, kedudukan paling mulia ialah para sahabat yang menyertai Perang Badar. Mereka berjumlah sekitar 313 orang dan mempunyai kelebihan yang besar dalam Islam. Kemudian diikuti para sahabat yang menyertai Perang Uhud, para sahabat yang menyertai Bai’ah al-Ridwan dan seterusnya seluruh sahabat Rasulullah SAW ﷺyang berjumlah sekitar 124,000 orang.
Hakikat ini menunjukkan bahawa para sahabat mempunyai kedudukan yang amat tinggi dalam agama. Mereka adalah generasi yang menerima didikan langsung daripada Rasulullah SAW, menyebarkan Islam ke seluruh dunia dan berkorban jiwa serta harta demi mempertahankan agama Allah.
Namun dalam sejarah Islam, muncul dua kelompok yang berani menghina dan mencela para sahabat. Pertama ialah sebahagian golongan Syiah yang melampaui batas sehingga melaknat Saidina Abu Bakar, Umar, Aisyah, Abu Hurairah dan ramai lagi sahabat Nabi. Kedua ialah kelompok Khawarij yang mengkafirkan serta menghalalkan darah Saidina Ali ibn Abi Talib dan Saidina Muawiyah ibn Abi Sufyan.
Oleh sebab itu ulama Ahli Sunah Waljamaah sentiasa memberi peringatan tentang bahaya kedua-dua kelompok ini ketika menulis kitab akidah. Mereka menekankan kewajipan menjaga lidah daripada mencela para sahabat dan hanya menyebut kebaikan mereka.
Imam Abu Ja’far al-Tahawi menegaskan prinsip penting Ahli Sunah Waljamaah dengan katanya: “Kami tidak akan menyebut tentang mereka melainkan dengan kebaikan.” Prinsip ini sangat penting dipelihara pada zaman hari ini ketika media sosial sering menjadi medan penghinaan terhadap tokoh-tokoh Islam.
Sesungguhnya mencintai Abu Bakar, Umar dan seluruh sahabat Rasulullah ﷺSAW adalah tanda kesempurnaan iman. Mereka bukan sekadar tokoh sejarah, bahkan insan pilihan Allah yang menjadi contoh kejujuran, keberanian, pengorbanan dan ketakwaan. Generasi umat Islam hari ini perlu mengambil teladan daripada mereka, bukan membuka ruang kepada budaya kebencian dan celaan terhadap generasi terbaik umat ini.
Penulis Pengurus Pusat Kajian Syariah Darul Fitri
© New Straits Times Press (M) Bhd






