Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) akan terus memperkukuh agenda pembangunan bakat, kesiapsiagaan kecerdasan buatan (AI) dan padanan pekerjaan bagi memastikan rakyat memperoleh pekerjaan berkualiti serta gaji lebih baik, selaras dapatan laporan terbaharu Bank Dunia.
KESUMA dalam satu kenyataan berkata, laporan Malaysia Economic Monitor April 2026 oleh Bank Dunia bertajuk “Raising the Ceiling, Raising the Floor: The Jobs Agenda as a Productivity Agenda” menekankan keperluan Malaysia memberi tumpuan kepada pekerjaan yang lebih produktif dan sepadan dengan kemahiran tenaga kerja.
Menurutnya, cabaran utama negara ketika ini bukan lagi sekadar mewujudkan peluang pekerjaan, sebaliknya memastikan pekerjaan yang diwujudkan mampu meningkatkan pendapatan rakyat dan memenuhi keperluan industri masa depan.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan berkata, dapatan laporan tersebut selari dengan komitmen KESUMA untuk memacu penciptaan pekerjaan berkualiti melalui pembangunan kemahiran dan padanan pasaran buruh yang lebih baik.
“Laporan Bank Dunia ini mengiktiraf bahawa pembangunan bakat, kesiapsiagaan AI dan penggunaan maklumat pasaran buruh yang tepat memainkan peranan penting dalam memastikan Malaysia mampu membina tenaga kerja yang lebih berdaya saing dan bersedia menghadapi perubahan ekonomi serta teknologi,” katanya dalam kenyataan tersebut hari ini.
Beliau berkata, sejajar dengan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), KESUMA melalui TalentCorp terus memperkukuh ekosistem MyMahir termasuk Future Skills Talent Council (FSTC), penggunaan data Critical Occupations List (MyCOL) serta pelaksanaan AI Readiness Index (AIRI).
Foto arkib: Bernama
Katanya, langkah itu penting bagi memastikan pembangunan kemahiran negara lebih selari dengan keperluan semasa dan masa depan industri.
Laporan Bank Dunia itu turut mengiktiraf kepentingan inisiatif seperti MyMahir FSTC, platform MyMahir dan penggunaan data pasaran buruh seperti MyCOL dalam membantu Malaysia membina ekosistem kemahiran yang lebih responsif serta dipacu permintaan industri.
Dalam pada itu, KESUMA turut bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi memberi pendedahan awal kepada pelajar sekolah mengenai laluan kerjaya masa depan termasuk bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), digital serta AI.
KESUMA berkata, pendekatan berkenaan bertujuan membantu pelajar membuat pilihan pendidikan dan kerjaya yang lebih bermaklumat sebelum memasuki pasaran pekerjaan.
“KESUMA akan terus bekerjasama merentas kementerian bersama agensi di bawahnya serta rakan strategik industri bagi memastikan pembangunan kemahiran, latihan dan intervensi bakat dilaksanakan secara lebih berfokus, responsif dan berpaksikan hasil,” ujar KESUMA.
Sementara itu, tambah Ramanan, usaha tersebut termasuk memperkukuh padanan pekerjaan menerusi MyFutureJobs, meningkatkan kebolehpasaran bakat tempatan dan membantu lebih ramai rakyat Malaysia mengakses pekerjaan bernilai tinggi.
“Ini termasuk usaha meningkatkan padanan pekerjaan menerusi MyFutureJobs, memperkukuh kebolehpasaran bakat tempatan serta membantu lebih ramai rakyat Malaysia mengakses pekerjaan bernilai tinggi dan berpendapatan lebih baik,” katanya.
Foto arkib: Bernama
Pada masa sama, jabatan serta agensi di bawah KESUMA terus memainkan peranan dalam memperkukuh standard perburuhan, keselamatan dan kesihatan pekerjaan, hubungan perusahaan, TVET serta pembangunan bakat teknikal negara.
Tambah KESUMA lagi, usaha tersebut meliputi aspek pensijilan, penempatan pekerjaan, peningkatan gaji, perlindungan sosial dan sokongan kepada pekerja yang terkesan akibat perubahan teknologi serta ketidaktentuan struktur ekonomi.
Menurutnya, pendekatan berkenaan penting bagi mengurangkan ketidakpadanan kemahiran selain memperkasa rakyat Malaysia untuk mengisi pekerjaan berproduktiviti tinggi.






