Beli MyKad palsu RM300 atau sewa daripada warga tempatan pada harga serendah RM50 untuk memohon pekerjaan secara ‘sah’ di negara ini.
Taktik warga asing itu terbongkar selepas dua gudang pakaian di Shah Alam digempur Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bersama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Jabatan Tenaga Kerja (JTK), hari ini.
Seorang wanita warga Indonesia berusia 28 tahun mengaku menggunakan MyKad palsu yang dibelinya pada harga RM300 untuk bekerja di gudang berkenaan sejak tiga tahun lalu.
Wanita asal Lombok itu mendakwa sudah lapan tahun berada di Malaysia selepas masuk menggunakan pasport sebelum dokumen berkenaan diambil ejen pekerjaan.
“MyKad palsu tersebut diperoleh menerusi seorang kenalan di Klang yang dipercayai bertindak sebagai orang tengah.
“Dia yang uruskan dan hantar kad itu. Saya bayar RM300 sahaja,” katanya dalam laporan Sinar Harian.
Wanita itu mendakwa tidak mengetahui siapa dalang sebenar yang menghasilkan dokumen palsu tersebut, namun mengesyaki individu berkenaan berasal dari Sabah.
Seorang lagi lelaki warga Indonesia berusia 30-an turut mengaku terpaksa menggunakan MyKad palsu selepas mendakwa ditipu ejen pekerjaan sehingga kerugian kira-kira RM7,000.
Katanya, dia meminta wang daripada keluarganya di Medan, Indonesia bagi membeli MyKad palsu pada harga sekitar RM400 supaya dapat terus tinggal di Malaysia dan mencari kerja.
“Ada kawan beritahu kalau mahu kerja boleh buat cara ini. Sebab saya terpaksa mahu kerja, jadi saya buat sahaja,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Bahagian Penguatkuasaan JPN Putrajaya, Mazhad Abd Aziz berkata, kesemua warga asing terbabit ditahan kerana disyaki menggunakan MyKad palsu dan MyKad milik individu lain bagi mendapatkan pekerjaan.
Menurutnya, seramai 26 individu ditahan terdiri daripada 20 wanita dan enam lelaki yang hasil pemeriksaan awal mendapati semuanya warga Indonesia.
Katanya, siasatan awal juga mendapati beberapa individu menyewakan MyKad milik orang lain pada harga serendah RM50 bagi tujuan permohonan pekerjaan menerusi syarikat sumber manusia.
“Kesemuanya akan disiasat di bawah Peraturan 25(1)(e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990,” katanya.





