Hanya Sze Fei-Izzuddin teruskan perjuangan ke suku akhir

Hanya Sze Fei-Izzuddin teruskan perjuangan ke suku akhir


PETALING JAYA: Beregu profesional, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani muncul satu-satunya wakil Malaysia yang meneruskan perjuangan ke suku akhir selepas rakan senegara yang lain tunduk kepada lawan masing-masing pada Kejohanan Badminton Terbuka Thailand di Bangkok, Thailand, hari ini.

Sze Fei-Izzuddin yang kini menghuni ranking No. 9 dunia melakar kemenangan straight set ke atas beregu ke-35 dunia, Huang Di-Liu Yang dari China 21-14, 24-22 dalam masa 46 minit pada pusingan kedua di Stadium Nimibutr.

Pada suku akhir, esok, mereka akan berdepan Christopher Grimley-Matthew Grimley, selepas wakil Scotland yang menghuni ranking ke-49 dunia itu menewaskan satu lagi beregu profesional Malaysia, Chia Weijie-Teo Ee Yi 26-24, 21-10 dalam masa 42 minit.

Pasangan No. 3 negara itu belum pernah bertemu gandingan adik beradik tersebut dalam mana-mana kejohanan antarabangsa sebelum ini.

Izzuddin ketika diminta mengulas mengenai aksi berdepan beregu China berkata, pada pertemuan itu mereka bermain dengan agak baik, walaupun menerima tentangan sengit daripada lawan.

“Kami hanya fokus pada diri kami sendiri, hari ini. Ya, kami rasa bagus dan kami sedang menuju ke arah itu (peningkatan prestasi).

“Cuma kami hilang sedikit fokus, tetapi kami gembira kerana dapat bangkit semula di penghujung set kedua,” katanya ketika ditemu bual oleh wakil Persekutuan Badminton Dunia (BWF) selepas perlawanan tamat.

Sewaktu ditanya mengenai keadaan angin yang bertiup agak kuat di dalam gelanggang, Izzuddin mengakui masalah tersebut sedikit menyukarkan dia dan Sze Fei, tetapi, itu bukan alasan untuk menghalang mereka daripada terus beraksi konsisten.

Sementara itu, selain Weiji-Ee Yi yang terkandas, dua lagi beregu negara turut tersungkur di pusingan kedua ialah Nur Mohd Azriyn Ayub Azriyn-Tan Wee Kiong dan Bryan Jeremy Goonting-Muhammad Haikal Nazri.

Beregu veteran, Azriyn-Wee Kiong tewas kepada pasangan tuan rumah, Peeratchai Sukphun-Pakkapon Teeraratsak 21-13, 20-22, 14-21 dalam masa 1 jam 5 minit.

Bryan-Haikal pula terpaksa akur kepada beregu No. 4 dunia, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty dari India 12-21, 19-21 dalam masa 44 minit. – UTUSAN



Source link

OR

Scroll to Top