Tampil dengan mesej keikhlasan, harapan serta tawakal

Tampil dengan mesej keikhlasan, harapan serta tawakal

Tampil dengan mesej keikhlasan, harapan serta tawakal


puterialia@hmetro.com.my

SELEPAS sedekad tanpa album studio penuh, ikon muzik kerohanian global, Maher Zain kembali mengubati kerinduan peminat menerusi pelancaran karya terbaharu berjudul Back To You.

Projek terbitan Awakening Music ini dianggap istimewa kerana ia adalah album penuh pertama beliau selepas kejayaan luar biasa menerusi deretan single hit antarabangsa seperti Rahmatun Lil’Alameen dan Qalbi Fil Madinah.

Maher, 44, berkata album Back To You dipilih sebagai simbolik kepada perjalanan spiritual seorang hamba untuk kembali kepada Pencipta, tujuan asal kehidupan dan perkara yang benar-benar bermakna dalam hidup.

“Sepanjang beberapa tahun kebelakangan ini, saya berkembang dari sudut peribadi dan spiritual. Projek ini mencerminkan perjalanan itu.

“Saya mahu muziknya terasa jujur, penuh renungan dan relevan, terutama ketika Ramadan apabila hati lebih terbuka mencari makna,” katanya pada sidang media secara dalam talian, baru-baru ini.

Menampilkan 16 lagu, album ini memperlihatkan evolusi seni Maher yang semakin matang dengan gabungan lirik bahasa Arab dan Inggeris.

Menariknya, ia turut menyuntik pengaruh muzik pelbagai budaya termasuk ritma Afrika dan Afrika Utara tanpa mengetepikan mesej keikhlasan, harapan serta tawakal.

Proses pembikinan album ini membabitkan siri kem penulisan lagu antarabangsa di Maghribi, Turkiye, Sweden dan Indonesia yang menghimpunkan bakat kreatif global termasuk artis Awakening Music, Harris J serta rakan kolaborasi setianya, Bara Kherigi.

Berbeza dengan kaedah konvensional, Back To You diperkenalkan menerusi pelan pelancaran berfasa yang bermula sejak penghujung Januari lalu selari dengan perjalanan spiritual Ramadan.

Selain itu, Maher mendedahkan proses pembikinan album ini memakan masa selama 10 tahun kerana jadual seninya yang padat serta perubahan trend industri muzik yang kini lebih menjurus kepada pelancaran single.

“Alhamdulillah, album ini akhirnya siap. Kali terakhir saya melancarkan album adalah 10 tahun lalu. Biarpun sudah merancang lama untuk menyiapkannya, kesibukan aktiviti seni jadi kekangan.

“Sepanjang tempoh itu, banyak perkara berlaku. Kami semakin matang, anak-anak membesar dan pelbagai emosi serta elemen berbeza disuntik ke dalam album ini.

“Ada lagu yang sangat lama tersimpan, malah ada yang sepatutnya dimuatkan dalam album pertama lagi,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Awakening Music, Bara Kherigi berkata, pendekatan melancarkan lagu baharu setiap Khamis secara mingguan bagi memberi ruang kepada pendengar menghayati setiap naskhah sebagai satu momen refleksi.

“Maher Zain adalah artis luar biasa yang muziknya sudah menjadi sebahagian daripada suasana spiritual dan budaya Ramadan di seluruh dunia.

“Daripada tergesa-gesa, kami membentuk album ini sebagai satu perjalanan yang berkembang minggu demi minggu bagi memberi penghormatan kepada setiap lagu,” katanya.

Dalam pada itu, Maher turut menitipkan pesanan buat peminat setianya di Malaysia yang sentiasa memberikan sokongan tanpa henti.

“Terima kasih atas sokongan luar biasa anda. Saya berdoa agar lagu-lagu dalam album ini memberi impak positif dalam hidup, hubungan sesama insan dan membantu kita menjadi individu yang lebih baik.

“Saya tidak sabar untuk kembali ke Malaysia bagi mengadakan persembahan buat anda,” katanya.

Antara tema yang diangkat termasuklah kebergantungan kepada Tuhan dalam ketidakpastian, kecintaan terhadap Nabi Muhammad SAW serta kerinduan terhadap rahmat-Nya.

Album penuh Back To You dilancarkan secara rasmi pada awal April lalu, dengan baki lagu akan dikeluarkan serentak di semua platform digital seluruh dunia.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top