Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming menegur sikap segelintir pengunjung yang meninggalkan sampah sarap di Dataran Merdeka selepas menyaksikan siaran langsung perlawanan akhir Piala Dunia FIFA 2026 awal pagi tadi.
Menerusi hantaran di Facebook, beliau meluahkan rasa sedih terhadap tindakan membuang sampah di merata tempat tanpa segan silu.
“Negara kita dah merdeka hampir 70 tahun. Semua orang ada pergi sekolah. Tolong tanya: Sampai bila kita nak erti jaga kebersihan?
“Sampai hati buang sampah merata tempat dan tanpa segan silu? Sedih, saya berasa sangat sedih,” katanya.

Terdahulu, DBKL menerusi satu hantaran di Facebook memaklumkan keadaan Dataran Merdeka dipenuhi sampah selepas ribuan orang berhimpun bagi menyaksikan siaran langsung final Piala Dunia 2026 antara Sepanyol dan Argentina.

Menurut DBKL, petugasnya segera menjalankan kerja pembersihan sebaik acara berakhir, namun mengingatkan bahawa kebersihan Kuala Lumpur tidak seharusnya bergantung sepenuhnya kepada petugas yang datang membersihkan kawasan selepas orang ramai pulang.
DBKL turut mengingatkan bahawa Dataran Merdeka merupakan lambang sejarah dan maruah negara yang perlu dipelihara serta menyeru orang ramai menjaga kebersihan ruang awam seperti menjaga rumah sendiri.

Artikel lain: Hannah Yeoh kecewa, tegur sikap pengunjung tinggalkan sampah di Dataran Merdeka
Awal pagi tadi, lokasi ikonik itu dibanjiri lebih 25,000 peminat bola sepak yang hadir bagi menyaksikan perlawanan akhir kejohanan berkenaan, menyaksikan Sepanyol menewaskan Argentina 1-0.
Sumber: FB Nga Kor Ming 倪可敏






