Exco Wanita UMNO, Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid mengingatkan bahawa Kerajaan Perpaduan ditubuhkan atas titah nasihat Yang di-Pertuan Agong susulan negara berdepan situasi Parlimen tergantung selepas Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.
Beliau menegaskan Kerajaan Perpaduan dibina atas prinsip saling menghormati, bukannya saling mengugut, sambil menegaskan Barisan Nasional (BN) kekal komited sebagai sebahagian daripada Kerajaan Persekutuan serta terus melaksanakan amanah yang diberikan.
Menurutnya, setiap parti mempunyai hak menentukan strategi politik di peringkat negeri mengikut realiti dan keperluan setempat.
“Adalah tidak wajar mana-mana pihak mempertikaikan komitmen BN hanya kerana strategi pilihan raya di peringkat negeri,” katanya menerusi Facebook, hari ini.

Beliau yang juga Ketua Penerangan UMNO Bahagian Bagan Datuk berkata demikian ketika mengulas gesaan Angkatan Muda Harapan (AMH) supaya semua Menteri dan Timbalan Menteri daripada BN meletakkan jawatan dalam Kabinet susulan perkembangan politik terkini yang menyaksikan BN secara terbuka bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) di Johor dan Negeri Sembilan.
YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim ketika Majlis Menandatangani Permuafakatan Antara Gabungan Bawah Kerajaan Perpaduan di Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya 16 Disember 2022. – AFIQ HAMBALI / Pejabat Perdana Menteri
Artikel lain: Jangan salah guna kedudukan! Letak jawatan jika serang rakan Kerajaan Persekutuan dalam PRN – Anwar
Sebelum ini, AMH dalam satu kenyataan bersama mendakwa tindakan BN bekerjasama secara terbuka dengan PN membuktikan parti itu tidak menghargai kepercayaan serta kedudukan yang diberikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Kerajaan Perpaduan.
Mengulas lanjut, Nurulhidayah berkata jika keutamaan AMH benar-benar untuk memastikan kestabilan negara dan kebajikan rakyat, sayap pemuda Pakatan Harapan (PH) itu seharusnya memberi ruang kepada semua pihak yang terlibat untuk menjalankan tanggungjawab masing-masing.

Beliau turut menggesa AMH menghormati perbezaan strategi politik antara parti-parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan.
“Rakyat sedang menilai siapa yang benar-benar bekerja untuk negara, dan siapa yang masih sibuk bermain politik,” katanya.
Sumber: FB Nurulhidayah Ahmad Zahid Official






