harisfadli@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bakal membina pejabat moden serba baharu dilengkapi gudang sitaan bagi operasi di Sarawak.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, aset baharu itu penting dalam mempertahankan prinsip tegas dalam tindakan, adil dalam pertimbangan dan berintegriti dalam setiap keadaan.
“Warga SPRM Sarawak perlu terus mempertahankan prinsip tegas dalam tindakan, adil dalam pertimbangan dan berintegriti dalam setiap keadaan.
“Usaha membanteras rasuah juga tidak seharusnya hanya tertumpu kepada tindakan penguatkuasaan selepas sesuatu kesalahan berlaku, sebaliknya aspek pencegahan dan pendidikan perlu terus diperkasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu Abd Halim turut merakamkan penghargaan kepada warga SPRM Sarawak pada Majlis Penyampaian Amanat Ketua Pesuruhjaya SPRM Bersama Pegawai Kanan SPRM Sarawak di Kompleks Pejabat SPRM Sarawak, di Kuching, hari ini.
Turut hadir, Pengarah SPRM Sarawak, Datuk Hasbilah Mohamad Salleh yang turut menyampaikan taklimat berkaitan aspek perjawatan dan pengurusan sumber manusia, prestasi perbelanjaan mengurus, inisiatif pendidikan masyarakat serta perkembangan semasa operasi.
Taklimat itu turut memperincikan cadangan pembinaan Kompleks Pejabat SPRM Sarawak baharu yang bakal dilengkapi gudang sitaan selain pelbagai fasiliti pejabat moden dan kondusif bagi menyokong keperluan operasi SPRM Sarawak.
Sesi diakhiri dengan lawatan ke ruangan pameran barang kes dan lokap SPRM Sarawak serta lawatan ke tapak cadangan pembangunan pejabat SPRM Sarawak yang baharu di Jalan Diplomatik, Petra Jaya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
