SEREMBAN: Pakatan Harapan (PH) menawarkan 10 komitmen utama menerusi manifesto Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan dengan meletakkan janji kerajaan stabil, bersih dan mesra rakyat sebagai agenda utama.
Manifesto itu antara lain akan memperkasakan Skim Sejahtera Rakyat (SSR), tawaran 30,000 peluang pekerjaan bergaji tinggi, menambahbaik skim biasiswa anak negeri dan bantuan anak sekolah serta 20,000 rumah mampu milik.
Pengerusi PH Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, PH juga akan merealisasikan Pelabuhan Antarabangsa Port Dickson, Landasan Bypass Senawang-Port Klang dan Seremban Sentral.
“Kami juga berjanji untuk membina Hospital baharu di Bandar Enstek, Nilai yang bertujuan meningkatkan kapasiti perkhidmatan kesihatan, mengurangkan kesesakan hospital sedia ada dan menyediakan akses rawatan lebih berkualiti kepada rakyat.
“Kerajaan negeri juga akan memudahcara pembinaan rumah kedua (meminda akta) bagi generasi kedua dan ketiga Felda di dalam kawasan tanah milik mereka serta mempermudahkan kelulusan bekalan air ke rumah generasi kedua dan ketiga Felda,” katanya
Beliau berkata demikian semasa sidang akhbar selepas Majlis Peluncuran Manifesto Kekal Harapan di Klana Resort di sini hari ini.
Yang turut hadir Pengarah Pilihan Raya PH , Datuk Seri Amiruddin Shari serta 36 calon yang mewakili PH dalam PRN Negeri Sembilan.
Aminuddin yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan ketika berucap memberitahu, mahu negeri ini muncul sebagai Central Corridor Pembangunan Harapan Malaysia iaitu Koridor Pertumbuhan Baharu Negara selari visi besar Negeri Sembilan 2045.
“Inilah sebabnya kita jenamakan semula Malaysia Vision Valley kepada Malaysia Vision Valley 2.0. Inilah sebabnya NS Semiconductor Valley diwujudkan sebagai hab teknologi tinggi negara.
“Inilah sebabnya Nilai Advanced Photonic AI Manufacturing City dibangunkan bagi menarik industri masa hadapan. Inilah sebabnya Seremban Sentral, Hospital Enstek dan jaringan logistik baharu terus dipercepatkan.
“Semuanya mempunyai satu tujuan iaitu mewujudkan lebih banyak pekerjaan bergaji tinggi, meningkatkan pendapatan rakyat, menarik pulang bakat-bakat terbaik dan menjadikan Negeri Sembilan negeri pilihan untuk pelaburan, inovasi dan kehidupan,” katanya. – UTUSAN






