JEMPOL: Tiada arahan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk pemegang jawatan dalam kerajaan Perpaduan yang terlibat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan untuk meletakkan jawatan.
Sebaliknya Perdana Menteri hanya mengingatkan supaya setiap daripada mereka mengekalkan semangat perpaduan serta mengutamakan disiplin dan profesionalisme sepanjang tempoh berkempen.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, Perdana Menteri memahami proses demokrasi sememangnya membuka ruang kepada perbezaan pandangan dan pertandingan politik seperti yang berlaku dalam beberapa pilihan raya negeri sebelum ini.
“Setakat ini belum ada apa-apa arahan daripada Perdana Menteri. Cuma peringatan agar semua yang berkhidmat dalam Kerajaan Perpaduan mengekalkan semangat perpaduan.
“Ia juga peringatan supaya kita memastikan aspek disiplin dan profesionalisme sentiasa dipelihara ketika berkempen.
“Perdana Menteri memandang proses demokrasi itu memang seperti ini, membolehkan perbezaan pandangan dan pendapat. Malah, jika kita lihat beberapa PRN sebelum ini, parti-parti juga bertanding secara berasingan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Program Ziarah Kasih bersama calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram Padang, G. Manivanan di Felda Palong 2, di sini, malam ini.
Mengulas lanjut, Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata, Perdana Menteri turut menegaskan kepentingan semua pemegang jawatan dalam Kerajaan Perpaduan untuk terus saling menghormati walaupun wujud perbezaan politik sepanjang kempen PRN.
“Yang ditegaskan adalah semua yang memegang jawatan dalam Kerajaan Perpaduan mesti saling hormat-menghormati. Itu yang penting.
“Kita juga tahu setiap tindakan kerajaan Persekutuan mempunyai implikasi terhadap persepsi, khususnya dalam kalangan pelabur tempatan dan luar negara.
” Perdana Menteri turut mengambil kira aspek tersebut dalam menguruskan perbezaan yang mungkin timbul sepanjang proses demokrasi berlangsung,” katanya.
Semalam, media melaporkan Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan memaklumkan beliau bersedia melepaskan jawatan sebagai anggota Kabinet sekiranya diarahkan oleh Perdana Menteri.
Sementara itu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dilaporkan berkata, sekiranya seseorang menteri tidak lagi dikehendaki, tiada keperluan untuk terus menunggu bagi melepaskan jawatan. – UTUSAN






