Slot enggan layan spekulasi masa depan

Slot enggan layan spekulasi masa depan

Slot enggan layan spekulasi masa depan


Slot kini tumpu aksi terakhir menentang Brentford. – FOTO: Agensi

ARNE Slot enggan melayan spekulasi mengenai masa depannya bersama Liverpool FC selepas pasukannya tewas 4-2 kepada Aston Villa di Villa Park, awal pagi tadi.

Kekalahan itu menyaksikan Liverpool gagal mengesahkan tiket ke saingan Liga Juara-Juara musim depan meskipun Virgil van Dijk meledak dua gol buat The Reds.

Slot yang semakin menerima tekanan susulan prestasi hambar Liverpool musim ini memilih untuk mengalihkan tumpuan kepada aksi terakhir liga menentang Brentford FC di Anfield minggu depan.

“Ia bukan mengenai saya tetapi mengenai kekecewaan kami terhadap keputusan ini.

“Saya sudah bercakap mengenainya semalam dan itu sudah memadai,” katanya kepada BBC Match of the Day.

Bekas pengendali Feyenoord itu turut mengakui Liverpool perlu segera mengembalikan keyakinan penyokong yang semakin kecewa dengan prestasi semasa pasukan.

“Kami perlu tampil lebih agresif ketika menentang Brentford dan memberikan persembahan yang mampu mengembalikan sokongan penyokong.

“Gabungan sokongan peminat serta aksi berkualiti mampu membantu kami mencapai sasaran utama iaitu layak ke Liga Juara-Juara,” katanya.

Dalam masa sama, Slot mengakui prestasi buruk di tempat lawan menjadi antara faktor utama kemerosotan Liverpool musim ini.

Menurutnya, pasukan terlalu mudah dibolosi selain gagal memanfaatkan peluang yang terhidang berbanding musim lalu.

“Bagi pasukan besar seperti kami, jumlah kekalahan dan mata tercicir di tempat lawan terlalu banyak.

“Kami terlalu mudah melepaskan gol dan pada masa sama tidak cukup tajam di depan gawang.

“Ketiadaan Alexander Isak dalam banyak perlawanan serta masalah kecergasan Hugo Ekitike turut memberi kesan, namun fokus kami sekarang hanya kepada Brentford,” katanya. – end



Source link

OR

Scroll to Top