KKM akan rayu keputusan mahkamah berhubung pengecualian nikotin – Dr Zaliha

KKM akan rayu keputusan mahkamah berhubung pengecualian nikotin – Dr Zaliha

KKM akan rayu keputusan mahkamah berhubung pengecualian nikotin – Dr Zaliha


Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan mengemukakan rayuan ke Mahkamah Rayuan, terhadap keputusan Mahkamah Tinggi semalam berhubung isu pengecualian cecair dan gel nikotin daripada Akta Racun 1952.

Bekas Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata, beliau telah dimaklumkan mengenai perkara itu dan menegaskan proses rayuan tersebut amat penting, bagi membetulkan tafsiran perundangan berhubung kuasa eksekutif menteri dalam membuat keputusan dasar demi kepentingan strategik negara.

Sehubungan itu, beliau menyifatkan adalah terlalu awal untuk membuat kesimpulan terhadap isu berkenaan, memandangkan proses rayuan akan berlangsung.

“Keputusan yang diambil pada tahun 2023, merupakan satu langkah berani yang akhirnya berjaya memayungi keselamatan rakyat di bawah Akta 852 yang sedang berkuat kuasa sekarang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Sekijang mengambil maklum serta menghormati keputusan mahkamah tersebut, di samping menghargai usaha pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kesihatan yang membawa kes berkenaan ke mahkamah sebagai bukti sistem demokrasi yang sihat.

“Proses semak dan imbang ini, bukti sistem demokrasi yang sihat. Hakikatnya, kerajaan dan pihak NGO berkongsi satu matlamat akhir yang sama, iaitu melindungi kesihatan rakyat Malaysia,” katanya.

Mengulas mengenai rasional keputusan yang dibuat pada Mac 2023 itu ketika beliau bertanggungjawab sebagai Menteri Kesihatan, Dr Zaliha menjelaskan bahawa penguatkuasaan di bawah Akta Racun 1952 pada ketika itu tidak lagi mampu membendung lambakan produk vape di pasaran, yang mana jualan vape bernikotin berleluasa secara terbuka di pasaran gelap.

Beliau berkata pengecualian tersebut merupakan satu langkah kritikal untuk menarik industri bernilai berbilion ringgit itu, keluar dari pasaran gelap supaya ia boleh diisytiharkan, dipantau rantaian bekalannya dan dikenakan cukai.

Perkara itu jelas beliau, telah dibincangkan secara terperinci di dalam Mesyuarat Jemaah Menteri sebelum beliau membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam di Parlimen pada Jun 2023 lalu, bagi menutup kelompangan undang-undang terbabit.

“RUU ini kini telah berkuat kuasa secara rasmi sebagai Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852). Akta ini bersifat standalone bagi mengawal selia produk merokok, peranti vape, cecair nikotin serta menetapkan larangan jualan kepada golongan bawah umur,” katanya.

Dr Zaliha berkata memandangkan Akta 852 telah beroperasi sepenuhnya, maka lompang perundangan telah diisi, malah peguam kerajaan telah berhujah dengan tepat di mahkamah bahawa kes semakan kehakiman itu sebahagian besarnya telah menjadi akademik dan tidak lagi memberi kesan praktikal.

Beliau berkata berkata Malaysia kini mempunyai ekosistem kawalan tembakau dan peranti vape yang jauh lebih selamat serta komprehensif untuk melindungi generasi muda berbanding kebergantungan kepada peruntukan lapuk Akta Racun sebelum ini.

Mahkamah Tinggi di sini semalam membenarkan permohonan semakan kehakiman yang difailkan oleh tiga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi mencabar keputusan kerajaan pada 2023 untuk mengecualikan cecair dan gel vape daripada Senarai Racun.

Mahkamah Tinggi putuskan pengecualian nikotin bawah Akta Racun tidak rasional, keputusan Menteri Kesihatan dicabar

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top