Kuala Lumpur: Malaysian Humanitarian Aid and Relief (MAHAR) mengutuk keras pengenalan ‘Garisan Jingga’ di Semenanjung Gaza, menyifatkannya sebagai kesinambungan tragedi Nakba moden yang dilakukan secara terang-terangan.
MAHAR berkata, sempadan baharu itu yang dilaporkan diwujudkan secara sepihak oleh tentera pendudukan yang berselindung di sebalik alasan pelarasan logistik bantuan, dikesan menceroboh masuk ke dalam Garisan Kuning, iaitu zon selamat yang dipersetujui semasa gencatan senjata.
“MAHAR menyatakan kemarahan dan kekesalan yang amat mendalam apabila rejim Israel dikesan sedang mempercepatkan pelan pembersihan etnik dan rompakan geografi secara senyap di Semenanjung Gaza, tepat ketika rakyat Palestin baru sahaja memperingati ulang tahun tragedi Nakba yang ke-78 semalam.
“Di kala tumpuan geopolitik global teralih oleh krisis Iran dan pergolakan pasaran tenaga, maruah serta saki-baki tanah air warga Palestin kini terus dirampas secara sistematik,” katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.
Menurut MAHAR, manipulasi sempadan ini membawa impak kemanusiaan yang sangat ekstrem, termasuk himpitan melampau dengan lebih 85 peratus populasi Gaza kini dipaksa bersesak di dalam zon perlindungan yang semakin mengecil, daif dan tidak berperikemanusiaan.
Sistem kesihatan juga lumpuh dan kini kurang daripada 43 peratus hospital yang masih mampu berfungsi secara separa akibat sekatan bekalan.
“Gaza juga sedang mengalami kebuluran yang terancang. Kos sara hidup melonjak melebihi 280 peratus, sekali gus mencetuskan krisis malnutrisi akut yang kritikal dalam kalangan kanak-kanak,” menurut kenyataan itu.
MAHAR menyeru komuniti antarabangsa dan kuasa diplomatik global untuk segera bertindak menghentikan hukuman kolektif serta rompakan sempadan baharu ini sebelum etnik Palestin dilupuskan sepenuhnya dari tanah air mereka sendiri.
Presiden MAHAR Jismi Johari berkata, pengenalan “Garisan Jingga” pada saat dunia sedang memperingati tragedi Nakba adalah bukti penindasan sistematik rejim Zionis yang tidak pernah henti untuk menghapuskan hak milik tanah rakyat Palestin.
“Di bawah Ops Ihsan, MAHAR tidak akan berundur. Kami komited memastikan Dapur Ihsan, rantaian air bersih, dan kelas-kelas sementara terus beroperasi. Ini bukan sekadar misi memberi bantuan, ini adalah benteng mempertahankan maruah dan kelangsungan hidup saudara kita di Gaza,” katanya.
Menurut MAHAR, sejak Oktober 2023, badan itu secara konsisten menembusi sekatan untuk menyalurkan bantuan kritikal melalui lima tunjang utama iaitu Dapur Ihsan (makanan panas), bekalan air bersih, pembaikan masjid, kelas pendidikan sementara, serta agihan bakul makanan berkala.
Kesatuan Eropah (EU) awal bulan ini mengumumkan penolakannya terhadap sebarang perubahan kepada kawalan wilayah di Semenanjung Gaza, berikutan penubuhan apa yang dipanggil “Garisan Jingga” oleh Israel di Semenanjung itu, lapor Agensi Berita & Maklumat Palestin (WAFA).
Anwar Al-Anouni, jurucakap pejabat hal ehwal luar EU, berkata badan itu menolak tindakan berkenaan, yang meningkatkan keluasan tanah di bawah kawalan Israel kepada lebih 60 peratus daripada Semenanjung Gaza.
© New Straits Times Press (M) Bhd





