PH Mahu ‘Kuburkan’ BN Buat Kali Kedua Di Johor, Sahut Cabaran Berentap Di 56 DUN

PH Mahu ‘Kuburkan’ BN Buat Kali Kedua Di Johor, Sahut Cabaran Berentap Di 56 DUN


Pakatan Harapan (PH) Johor melaungkan amaran untuk ‘menguburkan’ Barisan Nasional (BN) buat kali kedua di negeri itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang.

Serentak itu, PH turut mengumumkan akan bertanding di kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sebagai reaksi terhadap pengumuman Pengerusi BN Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi semalam bahawa gabungan itu akan bertanding solo di semua kerusi.

Pengerusi PH Johor, Aminolhuda Hassan berkata, pihaknya tidak akan sesekali goyah dengan keputusan BN itu malah bersedia menyahut cabaran berkenaan.

“BN pernah kalah di Johor dan PH pernah menang 38 kerusi DUN serta memerintah negeri ini pada 2018.

“Dalam pilihan raya negeri kali ini kita akan kuburkan mereka kembali untuk kali kedua,” katanya ketika berucap pada Konvensyen PH 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, hari ini.

Mengulas keputusan bertanding di semua 56 kerusi DUN, Aminolhuda berkata langkah itu dibuat selepas BN sendiri memberi bayangan jelas untuk bergerak solo dalam PRN akan datang.

“Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor telah menyatakan (BN) akan bertanding di 56 kerusi, maka PH Johor akan turut sama bertanding di 56 kerusi, mereka (BN) telah beri laluan dan kata putus.

“Walaupun ada yang menyatakan kenapa hendak bertanding dengan rakan sendiri? Ini kerana mereka yang isytiharkan, maka kita (PH) sambut,” katanya.

Ahli Parlimen Sri Gading itu turut mendakwa tindakan kerajaan negeri melantik lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan menunjukkan BN bimbang kehilangan sokongan rakyat khususnya di kawasan bandar.

Katanya, terdapat tujuh kawasan DUN di Johor mempunyai lebih 100,000 pengundi namun kerajaan negeri tidak berani melaksanakan persempadanan semula kawasan pilihan raya.

Dakwanya, jika persempadanan semula dibuat, kawasan bandar akan bertambah dan BN tahu sokongan di kawasan itu banyak memihak kepada PH.

“Sebab itu mereka tidak berani buat persempadanan semula,” katanya.






Source link

OR

Scroll to Top